Keliru Dengan UK-EU, Pound Pilih Untuk Turun Dulu

227

Dagangan pound sterling terus bergelut untuk mempertahankan kedudukan setelah dilemahkan oleh risiko Brexit dan pengukuhan matawang USD selepas Presiden AS Donald Trump menghentikan rundingan pakej rangsangan baru.

Memasuki sesi Eropah, matawang pound meningkat di atas paras harga 1.2900 sebelum susut semula dengan diniagakan berlegar pada 1.2894 berbanding US dolar, tidak jauh daripada paras ketinggian 3 minggu pada 1.3007 yang dicapainya ketika sesi dagangan Selasa.

Kenaikan sebelum ini telah didorong oleh pelabur yang optimis setelah terdapat laporan bahawa UK dan Kesatuan Eropah (EU) kini semakin hampir dengan perjanjian.

Walau bagaimanapun, peningkatan yang diraih dagangan pound sterling agak terbatas ekoran ditekan oleh laporan daripada Bloomberg yang mengatakan EU tidak mempunyai rancangan untuk menawarkan konsesi kepada UK menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Perdana Menteri Boris Johnson pada 15 Oktober.

Sebaliknya, EU bersedia untuk melanjutkan perbincangan sehingga pertengahan November dan mengambil risiko no-deal Brexit daripada beralah dalam isu persaingan dan hak perikanan.

Namun begitu, dalam kenyataan terbaru Menteri Perdagangan UK, Liz Truss telah menyatakan keyakinan beliau bahawa perjanjian dengan EU terhadap masa depan hubungan perdagangan mereka boleh dilakukan.

Berikutan mesej yang bercampur-campur daripada EU dan UK ini, peningkatan matawang pound mungkin akan terus terbatas walaupun terdapat harapan bahawa kesepakatan dapat dicapai.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat