Kemaraan USD Terus Membenam Pasaran Mata wang!

1,711

Penderitaan kebanyakan mata wang utama semakin parah pada sesi Eropah ketika raja mata wang US dolar terus mempertahankan pengukuhan di paras tertinggi 20 tahun.

Rentetan daripada data yang menunjukkan inflasi Amerika Syarikat kekal tertinggi dalam 40 tahun, pelabur terus meletakkan keyakinan pada Federal Reserve (Fed) untuk melanjutkan pengetatan monetarinya pada tahun ini.

Bagaimanapun, pengetatan ini telah mencetuskan kebimbangan bahawa ia akan merencatkan pertumbuhan global yang mana kebanyakan negara masih lagi bergelut dengan pemulihan daripada Covid-19 dan berdepan ancaman baru perang Ukraine-Rusia.

Kebimbangan ini terserlah dalam bacaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK yang menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan pada suku pertama menyebabkan mata wang pound diheret ke paras terendah terbaharu dua tahun.

Sementara dagangan euro turut menderita dengan menjunam ke paras terendah terbaharu sejak Januari 2017 meskipun para penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB) semakin lantang menyuarakan bahawa sudah tiba masanya untuk melaksanakan pengetatan.

Terbaharu, pembuat dasar ECB, Peter Kažimír dalam ciapan di laman Twitternya mengatakan kesediaannya untuk kenaikan kadar faedah pada bulan Julai.

Dalam pada itu, mata wang komoditi dolar Aussie dan kiwi turut mengalah dengan kekuatan dolar Amerika untuk didagangkan pada paras terlemah hampir dua tahun, sementara loonie pula paling rendah 17 bulan.

Selepas data harga pengguna (CPI), laporan harga pengeluar (PPI) AS pula akan menjadi tumpuan pelabur seterusnya pada sesi New York nanti yang bakal mengesahkan kekuatan inflasi di tahap tertinggi 40 tahun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat