Kemungkinan PKP Sepenuhnya Di Selangor Meresahkan Pelabur

2,049

Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada hari ini berikutan aktiviti belian semasa harga rendah

Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 1.50 mata kepada 1,584.96 berbanding 1,583.46 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks dibuka 0.21 mata lebih rendah pada 1,583.25.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbalas 151, 296 kaunter tidak berubah manakala 1,542 tidak diniagakan dan lima lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 265.64 juta bernilai RM110.33 juta.

Malacca Securities berkata ketika pelabur mungkin membuat belian semasa harga rendah susulan penurunan harga jualan semalam, kebimbangan pasaran ke atas kemungkinan diadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepenuhnya di Selangor bagi membendung jangkitan Covid-19 mungkin mempengaruhi bursa tempatan.

“Dalam pada itu, kami menjangkakan harga komoditi seperti bijih besi, minyak sawit mentah dan harga minyak akan kekal meningkat dalam masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu menjangkakan peniaga akan terbabit dengan kaunter berkaitan penjagaan kesihatan susulan kenaikan kes Covid-19 di beberapa negara.

“Sementara itu, saham tenaga mungkin dalam radar peniaga berikutan harga minyak Brent yang lebih kukuh, meningkat melepasi AS$69 buat masa ini. Di samping itu, kami menjangkakan keseluruhan pasaran yang lebih meluas dalam nada belian semasa harga rendah selepas pasaran bursa merosot semalam,” ujarnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM5.36, Petronas Dagangan dan TNB menambah dua sen masing-masing kepada RM19.16 dan RM9.93, manakala Top Glove meningkat lima sen kepada RM5.34, Maybank naik tiga sen kepada RM8.33, dan Public Bank jatuh dua sen kepada RM4.24.

Bagi saham aktif, KTG dan Key Asic masing-masing meningkat satu sen kepada 21.5 sen dan 17.5 sen, Niche Capital meraih dua sen kepada 28.5 sen, UCrest menokok tiga sen kepada 40.5 sen, Poh Kong Holdings menambah 12 sen kepada RM1.16, manakala Tanco turun setengah sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas pulih 14.30 mata kepada 11,525.52 dan Indeks FBMT 100 menokok 9.73 mata kepada 11,215.01.

Bagaimanapun, Indeks Emas Syariah meningkat 22.0 mata kepada 12,819.98, FBM ACE meningkat 69.59 mata kepada 7,711.77, dan FBM 70 menokok 9.51 mata kepada 14,809.66.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 0.79 mata kepada 6,945.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.43 mata kepada 193.08, sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.42 mata kepada 14,981.22.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat