Istilah ‘Pump & Dump’ merupakan satu taktik memanipulasi pasaran di mana harga sesebuah kripto dinaikkan secara buatan dengan menggunakan kaedah penyebaran maklumat palsu dan spekulasi berlebihan.
Setelah harga sesuatu token melonjak dengan tinggi, individu di sebalik dalang tersebut memulakan strategi berisiko dengan menjual token kripto tersebut pada harga tertinggi dan menyebabkan kejatuhan nilai mendadak yang dikenali sebagai ‘Dump’.
Perkara ini akan mencetuskan panik kepada pelabur-pelabur awam dengan kejatuhan mendadak serta alami kerugian yang sangat ketara.
Kaedah ‘kotor’ tersebut telah lama diwujudkan dalam pasaran saham terutamanya pada aset-aset yang bernilai murah.
Taktik tersebut telah diperkenalkan pada awal era 20-an seperti mempromosikan melalui panggilan telefon, emel atau surat khabar bagi mengajak orang ramai untuk membelinya.
Dalam pasaran kripto pula, strategi itu muncul sekitar tahun 2010 di saat pasaran mata wang digital itu masih kurang pendedahan dan tiada kawalan ketat.
Pada tahun 2017, populariti mata wang kripto mula melonjak dan banyak kumpulan mula mengadakan kempen ‘Pump & Dump’ secara terbuka di platform seperti Telegram dan Discord.
Antara token yang terkenal seperti Dogecoin dipromosikan secara agresif oleh sesetengah pihak pada 2021 sehinggakan meraih populariti mendadak dengan lonjakan lebih 10,000% kepada 70 sen USD sebelum ia menjunam tinggi ke paras 40 sen.
Walau bagaimanapun, beberapa negara mula mengambil langkah berjaga-jaga seperti Amerika Syarikat (AS) yang mengambil tindakan untuk menghalang manipulasi seperti ini dalam pasaran kripto.
Agensi Securities and Exchange Commission (SEC) turut memperkenalkan peraturan dan undang-undang untuk melindungi para pelabur dari aktiviti manipulatif.
Untuk mengelakkan terlibat dalam aktiviti ‘Pump & Dump’, pelabur disarankan untuk melakukan kajian mendalam bagi elakkan terpengaruh dengan khabar angin di media sosial dan berhati-hati dengan pergerakan harga yang kelihatan terlalu dramatik dalam masa yang singkat.