Keputusan Dasar Monetari SNB Buat Trader USD/CHF Terus Tersenyum

403

Keputusan mesyuarat polisi Swiss National Bank (SNB) menjadi tumpuan utama trader pasangan matawang USD/CHF pada hari ini, di mana bank pusat itu telah memutuskan untuk membiarkan kadar faedah tidak berubah di tahap terendah -0.75%.

Hasil keputusan ini, sememangnya telah dijangkakan secara meluas oleh pasaran bahawa bank pusat akan mengekalkan dasar monetarinya yang sangat longgar, meskipun berdepan tekanan inflasi yang semakin meningkat.

Menurut pernyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat, dasar pengembangan SNB dikatakan telah memberikan keadaan pembiayaan yang baik, di mana ia telah menyumbang kepada penawaran kredit dan kecairan yang sesuai untuk ekonomi serta mengatasi tekanan ke atas matawang Swiss franc.

Sementara itu, SNB turut meningkatkan unjuran terhadap inflasi yang dijangka akan meningkat pada 0.4% pada tahun 2021, dan 0.6% pada tahun 2022 dan 2023.

Dalam pada itu, bank pusat juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi Switzerland yang kuat pada suku kedua. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramalkan meningkat sekitar 3.5% untuk tahun 2021.

Memandangkan tiada apa yang mengejutkan susulan daripada keputusan SNB, selain daripada unjuran yang meningkat, matawang US dolar terus menokok lebih tinggi berbanding Swiss franc.

Berbeza dengan SNB, Federal Reserve (Fed) telah memberikan petunjuk untuk kenaikan kadar faedah yang lebih cepat daripada dijangkakan. Ini telah menyokong dagangan US dolar untuk meningkat ke paras tertinggi hampir satu bulan berbanding Swiss franc.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat