Keputusan Undian Tidak Memihak Kepada Brexit, Boris Johnson Terpaksa Akur Pohon Penangguhan

598

Matawang pound jatuh daripada paras tertinggi yang dicapai pada Jumaat lalu susulan parlimen UK meluluskan pindaan yang memaksa Perdana Menteri UK Boris Johnson untuk memohon penangguhan Brexit.

PM Johnson terpaksa menyerahkan surat untuk mematuhi Akta Benn selepas undian ahli parlimen lebih memihak kepada pindaan Letwin yang memaksa beliau untuk memohon penangguhan.

Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Donald Tusk mengesahkan bahawa beliau menerima surat tersebut dan akan menyampaikannya kepada EU27. Pada lewat malam Sabtu, PM Johnson menyerahkan surat penangguhan yang tidak ditandatangani kepada EU dan disertai bersama surat yang ditandatanganinya sebagai menentang penangguhan tersebut.

Pada awal dagangan Asia, pound diniagakan pada $1.2896 jatuh daripada paras tertinggi $1.2990 yang dicatatkan pada Jumaat berbanding dolar USD.

Sementara itu, dolar USD dilihat meningkat berbanding yen pada sesi Asia selepas mengalami penyusutan susulan beberapa laporan data ekonomi yang lemah, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemelesetan.

Selain itu, dolar Australia terus menunjukkan peningkatan berbanding USD susulan tindakan bank pusat China (PBOC) menetapkan kadar pinjaman perdana (LPR) selama satu tahun pada 4.2%.

Di sisi lain, dolar New Zealand turut mempamerkan pengukuhan berbanding USD walaupun data perbelanjaan pengguna New Zealand lebih rendah pada bulan September daripada yang dijangkakan. Pasaran menjangkakan bank pusat akan mengurangkan kadar faedah pada hujung tahun ini.

Risiko masih tidak berubah memandangkan ketidakpastian yang membelenggu Brexit dan kekurangan pengeluaran data ekonomi utama pada hari ini, dengan pelabur terus memantau perkembangan terbaru tentang isu perdagangan dan Brexit untuk menentukan hala tuju pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat