Kerajaan Cuai, Penduduk Beirut Berang!

427

Penduduk Beirut menzahirkan kemarahan mereka terhadap kerajaan Lebanon selepas didakwa cuai dan mengabaikan faktor keselamatan ketika menyimpan bahan ammonium nitrate sehingga menyebabkan letupan kuat.

Lapor BBC, penduduk Beirut mendakwa pihak berkuasa tempatan adalah korup, cuai dan sistem pengurusan yang tidak betul.

Menurut seorang penduduk, Chadia Elmeouchi Noun, Beirut diketuai oleh pemimpin dan kerajaan yang tidak berkelayakan serta apa yang berlaku adalah satu jenayah dilakukan oleh kerajaan.

Presiden Lebanon, Michel Aoun berkata letupan itu berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrate yang disimpan secara tidak selamat di sebuah gudang di kawasan pelabuhan Beirut.

Semalam, kerajaan Lebanon mengumumkan sebilangan pegawai pelabuhan Beirut dikenakan tahanan rumah sementara siasatan berhubung letupan yang mengorbankan 135 mangsa serta mencederakan lebih 4,000 orang itu dijalankan.

Menteri Maklumat, Manal Abdel Samad memaklumkan kesemua suspek yang dikenakan tahanan rumah adalah mereka yang mengendalikan hal ehwal menyimpan bahan itu, mengawalnya dan menguruskan kertas kerjanya sejak Jun 2014.

Dalam pada itu, ketua pelabuhan Beirut dan ketua pihak berkuasa kastam memberitahu media tempatan, mereka telah menghantar surat kepada badan undang-undang beberapa kali supaya bahan kimia itu dieksport atau dijual bagi memastikan keselamatan pelabuhan itu.

Pengurus Besar Pelabuhan, Hassan Koraytem memberitahu agensi berita OTV sebagai berkata, pihaknya sedar bahan itu berbahaya apabila mahkamah memerintahkan ia disimpan dalam gudang sejak enam tahun lalu namun tidak menyangka akan berlakunya kejadian yang sangat buruk.

Kejadian semalam memberi tamparan hebat kepada Lebanon terutamanya negara itu kini mengalami krisis ekonomi terburuk sejak perang saudara 1975-1990.

Rakyat Lebanon perlu berdepan dengan masalah bekalan elektrik setiap hari, sumber air minuman yang kotor dan kemudahan kesihatan awam yang terhad.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat