Kes Covid-19 Di Indonesia Melonjak 42,762 Selepas Australia Umum Dana USD 6.2 Juta

654

Kes Covid-19 Indonesia terus melonjak dengan catatan angka 42,762 kes hari ini, dengan 2,339 nyawa hilang setakat ini disebabkan oleh coronavirus, jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Achmad Yurianto, jurucakap pihak berkuasa Indonesia bagi Covid-19, mengatakan 1,331 kes dicatatkan di seluruh negara hari ini, sementara 63 kematian dilaporkan.

“Jumlah kes sekarang berjumlah 42,762, sementara 17,923 pesakit masih di bawah pengawasan Covid-19,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Jawa Timur mencatat jumlah kematian tertinggi pada 664 kes, diikuti oleh Jakarta (578 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (150), sementara selebihnya di wilayah lain.

Sebelum itu Indonesia akan menerima USD 6.2 juta dari Australia untuk menyokong usaha respons dan pemulihan Covid-19. Ini dinyatakan dalam satu kenyataan bersama kedutaan Australia di sini dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut The Jakarta Post.

Dana tersebut adalah untuk “meningkatkan peralatan makmal Indonesia, memperbaiki cara Indonesia mengumpul dan menggunakan informasi kesihatan dan melindungi pesakit serta pekerja kesihatan di hospital”.

Duta Besar Australia di Indonesia Gary Quinlan mengatakan: “Sebagai negara jiran dan rakan jangka panjang, Indonesia dan Australia berada dalam posisi yang baik untuk mengatasi cabaran ini bersama-sama.”

“Menyokong keupayaan keselamatan kesihatan Indonesia, dengan kerjasama WHO, adalah sangat penting untuk memastikan pemulihan wilayah ini,” tambahnya.

Wakil WHO di Indonesia N. Paranietharan mengatakan organisasi itu akan terus bekerjasama dengan pemerintah Indonesia untuk memperbaiki dasar dan prosedur nasional untuk meningkatkan kecekapan dalam menanggani keadaan kesihatan masyarakat.

“Dengan sokongan dari Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan (Australia), WHO akan memastikan sokongan penting diberikan terhadap kesiapsiagaan sistem kesihatan, termasuk meningkatkan sistem pengawasan dan pengesanan kes di seluruh negara dan memperkuat usaha pencegahan dan pengendalian jangkitan. ”

Selain itu, terdapat juga negara-negara lain dan organisasi antarabangsa yang telah mengumumkan bantuan kepada Indonesia sebagai usaha tindakbalas dan pemulihan Covid-19.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan minggu lalu bahawa ia akan menyumbang USD 2 juta untuk menyokong Indonesia melalui dana khas Covid-19 Multi-Partner Trust Fund.

Bulan lalu, New Zealand juga telah mengumumkan akan menyumbang USD 3 juta untuk siapsiaga, respons dan pemulihan Covid-19 Indonesia melalui United Nations Children Fund Indonesia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat