Dagangan sesi Eropah bermula positif dengan memperlihatkan kebanyakan matawang utama kembali mencatatkan peningkatan setelah perdagangan yang suram pada sesi Asia sebelum ini.
UK telah memulakan kempen vaksinasi pada hari ini yang menyaksikan vaksin Covid-19 oleh Pfizer diberikan kepada golongan lebih berisiko terlebih dahulu, iaitu warga tua dan pegawai kesihatan.
Perkembangan positif ini telah mendorong matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan dolar New Zealand untuk kembali diniagakan meningkat pada pembukaan sesi Eropah.
Selain itu, para pelabur turut memerhatikan tanda-tanda kemajuan mengenai pakej rangsangan coronavirus AS.
Kongres AS dijangka menyetujui rang undang-undang pada minggu ini, yang akan memberi lebih banyak masa kepada para penggubal dasar untuk menyetujui program rangsangan lebih luas dan rang undang-undang yang menyeluruh untuk mengelakkan penutupan oleh kerajaan.
Sementara itu, euro turut mempamerkan kenaikan dengan tumpuan pelabur tertumpu kepada mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada hari Khamis yang dijangka secara meluas akan meningkatkan pelonggaran polisi.
Dagangan pound didagangkan mendatar berikutan para pelabur yang mengambil langkah berhati-hati disebabkan ketidakpastian yang berlegar mengenai rundingan perdagangan Brexit.
Perhatian pasaran kini terarah kepada pertemuan Perdana Menteri UK Boris Johnson dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen yang diharapkan dapat menyelamatkan perjanjian Brexit.