Korea Utara Uji ‘Kesabaran’ AS

533

Korea Utara mendakwa telah melancarkan peluru berpandu taktikal jenis baharu semalam, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Pyongyang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi media tempatan KCNA, dua peluru berpandu dilancarkan dan bergerak sejauh 600 kilometer di luar kawasan timur laut Korea Utara.

“Pembangunan sistem senjata ini sangat penting dalam meningkatkan kekuatan ketenteraan negara dan menghalang segala ancaman ketenteraan,” kata pemimpin kanan yang mengawasi ujian tersebut, Ri Pyong-chol.

Tambah kenyataan itu, peluru berpandu baharu berkenaan mampu membawa muatan seberat 2.5 tan, sekali gus berkebolehan membawa kepala peledak nuklear.

Pelancaran tersebut adalah yang pertama kali seumpamanya sejak setahun lalu dan kali pertama semenjak Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

Menurut Biden, AS akan bertindak balas sewajarnya. AS, Jepun dan Korea Selatan mengecam ujian berkenaan.

Biden menegaskan ujian pelancaran itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan AS akan berbincang dengan rakan sekutunya.

Di bawah resolusi UNSC, Korea Utara dilarang daripada menguji peluru berpandu.

“Akan ada respons – jika mereka memilih untuk bermusuhan, kami akan bertindak balas dengan sewajarnya.

“Tetapi saya juga bersedia untuk sebarang bentuk diplomasi tetapi harus diselesaikan dengan syarat pelucutan senjata nuklear,” kata Biden.

Pentadbiran Biden masih belum dapat mengadakan sebarang rundingan diplomatik dengan Korea Utara.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat