Laporan Pekerjaan Australia Jadi Tumpuan Pelabur Sesi Asia Hari Ini

318

Matawang Euro mencatatkan kenaikan pada dagangan Rabu semalam selepas laporan bahawa Presiden Donald Trump dijangka akan menangguhkan kenaikan tarif terhadap import kereta Eropah dan bahagiannya sehingga enam bulan.

Pengumuman rasmi dijangka adalah pada Sabtu untuk Trump membuat keputusan dengan cadangan oleh Jabatan Perdagangan untuk melindungi industri auto Amerika Syarikat atas dasar keselamatan negara.

Euro sebelum itu mengalami penurunan berikutan isu Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini yang mengkritik undang-undang Kesatuan Eropah berkenaan had bajet. Komen oleh Salvini lebih menjadi tumpuan pasaran berbanding data pertumbuhan di Jerman untuk suku tahunan Mac dengan perbelanjaan isi rumah meningkat dan aktiviti pembinaan yang semakin rancak.

Matawang dolar Amerika Syarikat kekal didagangkan lemah berikutan risiko ke atas ketegangan perang dagang antara Amerika dan China yang berlarutan.

Tambahan lagi, data ekonomi yang dikeluarkan semalam turut mencatatkan bacaan yang merosot.

Kadar jualan runcit jatuh -0.2% untuk bulan April jauh lebih rendah berbanding 1.7% pada bulan sebelumnya. Penurunan adalah dipercayai terkesan oleh penurunan jualan kenderaan bermotor, pakaian, peralatan dan bahan binaan.

Kadar jualan runcit teras turut mencatatkan penurunan kepada 0.1% meleset berbanding jangkaan penurunan 0.7% daripada bacaan sebelum ini iaitu pada 1.3% yang telah dikemaskini semula.

Turut dikeluarkan bersama semalam adalah data inflasi Kanada. Seperti dijangkakan kadar inflasi menurun kepada 0.4% berbanding 0.7% pada bacaan sebelum ini.

Sesi pasaran Asia hari ini tertumpu pada dagangan dolar Australia di mana laporan data pekerjaan dikeluarkan. Walaupun kadar pertambahan pekerjaan dilihat baik, namun kadar pengangguran mencatatkan angka yang meningkat sekaligus membuatkan dagangan Aussie mengalami penurunan.

Kadar pengangguran bagi bulan April meningkat kepada 5.2% meleset berbanding jangkaan angka yang menurun kepada 5.0% oleh pasaran. Angka tersebut adalah tertinggi dicatatkan sejak Ogos tahun lalu.

Selain sentimen perang dagang AS-China yang berlanjutan, data ekonomi China semalam turut membebankan dagangan semasa buat Aussie. Dan dengan laporan pekerjaan yang terbaru, Aussie berkemungkinan didagangkan paling berisiko sehingga penghujung minggu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat