Dalam kicauan twit oleh @MASTERBTCLTC semalam ada memuatkan rekod pertumbuhan transaksi di rangkaian Litecoin (LTC) yang menunjukkan isyarat positif dengan kadar peningkatan 75% berbanding Bitcoin (BTC).
Jelas pemilik akaun itu lagi, berdasarkan lonjakan perkembangan ini dia menjangkakan transaksi Litecoin akan mengatasi transaksi Bitcoin, setidak-tidaknya pada tahun ini.
Buat masa sekarang, transaksi di Bitcoin masih mendahului perlumbaan ini dengan jumlah kumulatif mencecah 227,000 berbanding Litecoin, 168,000.
Boleh jadi trend ini didorong oleh sekatan perlombongan Bitcoin di China. Lagi-lagi penggunaan tenaga eletrik bagi setiap transaksi Litecoin menelan cuma 18.522 kWh berbanding Bitcoin, 707 kWh.
Bagaimanapun, masih terlalu cepat untuk menilai perubahan ini disebabkan faktor alam sekitar. Masih ada banyak lagi rangkaian kripto yang lebih mesra alam dan jauh lebih cepat berbanding Litecoin.
Mungkin dapat disimpulkan peningkatan rekod transaksi di Litecoin dan sebaliknya bagi Bitcoin, menunjukkan aset Satoshi Nakamoto ini cuma bernilai sebagai aset simpanan.
Litecoin sebenarnya boleh dikatakan cerminan Bitcoin memandangkan rangkaian ini dibangunkan berdasarkan idea kepada penubuhan Bitcoin, cuma dengan pelbagai variasi penambahbaikan.
Malah Litecoin diangkat sebagai ‘perak’ kepada ‘emas’ Bitcoin, walaupun Ethereum jauh lebih bernilai berbanding matawang kripto ini yang sedang berada di kedudukan ke-13 berdasarkan CoinMarketCap.