Lupus Pusat Logistik, PICB Mencanak Naik!

213

Pengeluar alat tulis, Pelikan International Corp Bhd (PICB) menjadi kaunter kedua paling untung ketika sesi dagangan Bursa Malaysia pagi tadi selepas syarikat berkenaan mengumumkan pelannya untuk pengagihan tunai khas kepada pemegang sahamnya susulan penjualan pusat logistik di Jerman.

Pada pukul 9.26 pagi, saham syarikat tersebut melonjak sebanyak 3.5 sen atau 9.09% kepada 42 sen dengan 28.06 juta saham diniagakan. Syarikat terbabit bernilai RM232.23 juta.

Semalam, Pelikan mengumumkan pelupusan pusat logistiknya dengan jumlah sebanyak 81 juta euro.

Pelikan menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya iaitu Pelikan Group GmbH (PGG) telah memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat dengan HE4 Falkensee 1 S.à r.l. dan HE4 Falkensee 2 S.à r.l untuk melupuskan pusat logistiknya yang terletak di Straße der Einheit, Falkensee, Jerman.

Berdasarkan penyata kewangan gabungan Pelikan yang telah diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20), pelupusan berkenaan dijangka dapat memberikan keuntungan ‘one-off’ yang dianggarkan sebanyak RM184.83 juta.

Tambah Pelikan, hasil daripada pelupusan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, keperluan modal kerja, anggaran kos dan perbelanjaan bagi penyusunan semula dalaman.

“Pelupusan itu akan membolehkan kumpulan memanfaatkan sumber modal yang terikat sebagai aset jangka panjang dan merealisasikan nilai hartanah pada nilai pasaran saksama selain dapat mengukuhkan kedudukan kewangannya.

“Pertimbangan ini akan digunakan terutamanya untuk keperluan modal kerja kumpulan; memberi ganjaran kepada pemegang saham melalui pengagihan tunai khas; penyusunan semula operasi dalaman; dan pembayaran balik sebahagian pinjaman bank, justeru, ini secara keseluruhan akan meningkatkan keuntungan dan mengurangkan kos pembiayaannya,” kata kenyataan itu seperti dilaporkan oleh Bernama.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat