Malaysia Masih Sakit! KDNK Diramal ‘Kecut’ Sampai 4.9%

436

Bank Dunia hari ini meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini menurun kepada penguncupan sebanyak 4.9% berbanding 3.1% sebelum ini, berdasarkan penguncupan ketara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku kedua tahun ini ekoran impak pandemik Covid-19.

Menurut laporan Economic Update for East Asia and the Pacific keluaran Oktober oleh Bank Dunia hari ini, perubahan ramalan KDNK Malaysia menunjukkan peningkatan ketidakpastian mengenai permulaan dan sepantas mana pemulihan global, yang akan membebankan keputusan pelaburan dan permintaan luaran.

“Di samping itu, peningkatan kadar pengangguran dan kelemahan lain dalam pasaran buruh akan terus membebankan nilai penggunaan barangan serta perkhidmatan isi rumah.

“Melihat kepada perkembangan ini, kebanyakan komponen permintaan (eksport bersih, nilai penggunaan barang dan perkhidmatan isi rumah dan pelaburan swasta) dijangka akan menguncup pada tahun ini. Perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat disebabkan oleh rangsangan perbelanjaan,” kata Bank Dunia.

Tambah Bank Dunia, ekonomi Malaysia terjejas teruk akibat pandemik, sekali gus menyebabkan penguncupan KDNK sebanyak 17.1% pada pada suku kedua tahun ini.

Penguncupan tersebut didorong oleh penurunan permintaan dalam negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta keadaan luaran yang lemah.

“Wujud risiko perintah berkurung yang lebih ketat akan dilaksanakan di seluruh negara, seperti yang berlaku di beberapa negeri kebelakangan ini.

“Sekatan perjalanan antarabangsa yang terlalu lama akan memberi kesan besar terhadap industri pelancongan. Pergolakan politik yang berterusan termasuklah kemungkinan berlakunya pilihan raya umum dalam waktu terdekat akan terus membebani sentimen pelaburan swasta dan boleh menghentikan perkembangan usaha pemulihan,” jelas Bank Dunia lagi.

Bagaimanapun, ramalan KDNK Bank Dunia itu masih berada pada tahap penguncupan yang diramalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sekitar antara 3.5% hingga 5.5% tahun ini.

Menurut kenyataan BNM pada 14 Ogos lalu, KDNK negara dijangka meningkat antara 5.5% dan 8% pada tahun hadapan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat