Malaysia Pilihan Zodiac Untuk Pelaburan Teknologi 5G

281

Syarikat dari China, Zodiac (China) Applied Science and Technology Research Centre Ltd bakal membuat pelaburan awal sebanyak RM1.5 bilion, sebagai sebahagian daripada pelan untuk menubuhkan pangkalan penghasilan pembangunan cip 5G dan teknologi enkapsulasi di negara ini.

Lapor The Edge, syarikat itu sedang mempertimbangkan untuk membangunkan fasiliti pengeluarannya yang kedua di sebuah kawasan seluas 202.34 hektar.

Fasiliti pengeluaran pertama syarikat itu terletak di Quanzhou, Fujian, China dan beroperasi sejak 2018.

Zodiac memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama susulan persekitaran yang meyakinkan, infrastruktur yang membangun dan sistem kewangan kukuh, ditambah dengan lokasi Malaysia yang strategik.

Selain itu, Zodiac juga berjaya mendapat sokongan kerajaan tempatan berhubung lokasi di mana pelaburan itu akan dijalankan, yang mempromosikan eksport dan akses khas kepada produk akhir.

Menurut Pengerusi Kumpulan Zodiac, Datuk Chu Boon Tiong, kapasiti pengeluaran pada masa hadapan diramalkan mencecah kira-kira RM84 bilion.

Tambah beliau, pihaknya akan melabur kira-kira RM2.5 bilion dalam masa terdekat untuk membangunkan sistem komunikasi generasi keenam, yang akan menjadi pemangkin peringkat kedua penyelidikan serta pelaburan 6G.

“Zodiac mempunyai pengalaman yang banyak dalam aspek teknologi pembangunan cip berprestasi tinggi selama bertahun-tahun. Teknologi pembuatan cip terkini dan teknologi enkapsulasi generasi kelima telah menembusi batas 5G dan beralih ke arah pembangunan 6G,” ujar beliau.

Penyusunan semula strategi korporat baharu atau strategi pembangunan baharu Zodiac berpunca daripada keperluan untuk mengurangkan risiko yang disebabkan oleh ketegangan China-AS yang memuncak serta penularan pandemik Covid-19.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat