Masalah Bekalan Cip Dijangka Berlarutan Sehingga 2023/2024

234

‘Nampak remeh dan tak penting, tapi masalah ini boleh melumpuhkan sektor teknologi.’

Sedang dunia mengalami krisis makanan serta kadar inflasi yang tinggi, masalah bekalan cip yang diharap selesai selepas pelonggaran sekatan Covid-19 di China menerima ‘pukulan‘ baharu.

Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Gina Raimondo, baru-baru ini yang berkunjung ke Korea Selatan untuk berjumpa pemimpin syarikat-syarikat pembuat cip telah mengeluarkan amaran bahawa masalah bekalan semikonduktor akan berlarutan.

Menurutnya, masalah kekurangan bekalan cip yang terjadi tahun lalu dijangka akan berlarutan sehingga akhir 2023 atau awal 2024 sungguh pun terdapat pelonggaran sekatan Covid-19 di China.

Masih segar diingatan pada tahun 2021 sehingga awal 2022 di mana dunia mengalami masalah kekurangan bekalan cip ekoran sekatan Covid-19, yang melumpuhkan sejumlah syarikat-syarikat gergasi teknologi.

Antara syarikat yang terjejas adalah Apple Inc yang terpaksa mengurangkan penghasilan iPhone baharu kerana firma pembekalnya, Foxconn memberi amaran kekurangan cip pemprosesan yang kritikal.

Selain itu, syarikat kereta elektrik (EV) Tesla juga dilihat mengalami masalah yang sama termasuk syarikat cip perkakasan terbesar dunia iaitu Nvidia sehingga menjejaskan laporan pendapatan suku pertama (1Q) mereka.

Walaupun secara kasarnya isu kekurangan bahan semikonduktor ini hanya menyumbang peratusan kecil kepada prestasi syarikat, namun impaknya besar dan boleh melimpah ke sektor-sektor lain berkaitan teknologi.

Dalam pada itu, Raimondo dilihat terus menggesa Kongres untuk meluluskan pembiayaan perundangan yang boleh merangsang pengeluaran cip komputer domestik.

Sebagai makluman, Senat AS dan Dewan Perwakilan telah luluskan rang undang-undang AS$52 bilion (Akta CHIPS dan Akta America COMPETES) untuk melabur dalam penyelidikan dan pembuatan cip domestik, namun gagal mencapai persetujuan akhir sehingga kini.

Perkara yang menjadi kebimbangan Raimondo adalah syarikat pengeluar seperti Samsung, Intel dan Micron akan membina kilang di negara-negara lain dan AS terpaksa mengimport cip dari luar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat