Masih Menanti Sentimen Positif, Pelabur Kekal Berwaspada

258

Perdagangan Bursa Malaysia hari ini diniagakan rendah susulan indeks utama susut sebanyak 0.24% setelah pamer prestasi kukuh pada semalam.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 3.69 mata kepada 1,519.9 berbanding 1,523.59 ketika ditutup pada Selasa.

Bernama melaporkan, indeks utama itu dibuka 1.39 mata lebih tinggi kepada 1,524.98.

Di pasaran menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 188 daripada 123, manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 319.34 juta unit bernilai RM100.82 juta.

Menurut Malacca Securities, sentimen pasaran berkemungkinan akan kekal berjaga-jaga berikutan pelabur masih menantikan pelantikan perdana menteri yang baharu.

Manakala Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa agar pemimpin parti bekerjsama bagi menangani pandemik Covid-19 ketika ini serta ekonomi.

Dalam pada itu, firma broker itu menyatakan bahawa pelabur dijangka akan terus menumpukan tumpuan kepada sektor yang berkaitan pengguna, perkhidmatan dan logistik serta pembinaan.

“Pelabur juga boleh melakukan perdagangan dengan berhati-hati dalam stok teknologi terpilih susulan China mengeluarkan keputusan untuk memperketat peraturan persaingan untuk syarikat internet,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB masing-masing susut tiga sen kepada RM8.11 dan RM9.11, manakala Public Bank serta Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM3.95 dan RM8. IHH Healthcare naik satu sen kepada RM5.79.

CIMB, Press Metal dan Maxis masing-masing jatuh satu sen kepada RM4.59, RM5.09 dan RM4.44.

Bagi saham aktif, Avillion naik 1.5 sen kepada 21.5 sen, AppAsia meningkat setengah sen kepada 15 sen, TFP Solutions tidak berubah pada 21.5 sen, Advance Synergy jatuh dua sen kepada 20.5 sen dan Malayan United merundum satu sen kepada 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 17.2 mata kepada 11,103.94, Indeks FBM Emas Shariah susut 17.34 mata kepada 12,209.27 dan FBM ACE melonjak 22.33 mata kepada 7,154.47.

Indeks FBMT 100 jatuh 20.17 mata kepada 10,820.8, dan FBM 70 naik 3.37 mata pada 14,547.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.08 mata kepada 190.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 25.42 mata kepada 14,819.45, dan Indeks Perladangan jatuh 5.57 mata kepada 6,317.86.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat