Matawang Utama Kembali Dipinggirkan, Dagangan Safe-Haven Menguat

474

Matawang berisiko kembali didagangkan berhati-hati setelah pasaran menyambut baik pemulihan susulan pengukuhan data ekonomi Eropah yang kemudiannya dilihat masih belum cukup untuk menjamin pertumbuhan dalam jangka panjang.

Malah, peningkatan semula kes di beberapa negara yang sebelum ini berjaya mengawal penularan Covid-19 pula telah menambah tekanan terhadap prospek pemulihan global.

Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat peningkatan semula kes yang dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan, keraian dan kelab malam. Terbaru, Australia kembali mencatatkan peningkatan kes di Victoria, di mana 20 kes baru dan 1 kematian dilaporkan pada hari ini.

Ini telah memberi tekanan kepada dagangan dolar Aussie untuk menyusut setelah meraih pengukuhan daripada laporan mengenai perjanjian perdagangan AS-China yang berjalan dengan baik dan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi.

Sementara itu, dolar kiwi pula terus ditekan oleh kenyataan dovish Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) yang bersedia untuk mengambil langkah rangsangan selanjutnya bagi menyokong ekonomi negara dari impak Covid-19.

Euro mula mempamerkan penyusutan pada awal pembukaan sesi pasaran Eropah setelah didagangkan mendatar pada sesi sebelumnya, walaupun data tinjauan perniagaan di Jerman menunjukkan peningkatan pada bulan Jun berbanding sebelumnya.

Ketua Ekonomi Bank Pusat Eropah (ECB), Philip Lane memberi amaran bahawa pengukuhan data yang diterbitkan adalah bukan petunjuk baik untuk menunjukkan pemulihan dalam ekonomi Eropah buat masa ini, malah ia adalah sesuatu yang normal.

Dalam pada itu, dagangan pound terus disokong oleh optimisme terhadap pelonggaran sekatan di UK mulai 4 Julai yang akan menyaksikan beberapa sektor ekonomi utama dibuka semula.

US dolar terus didagangkan di bawah tekanan dengan mempamerkan peningkatan sederhana berbanding matawang utama lain, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kes Covid-19 yang terus meningkat di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Sementara dagangan safe-haven yen dan Swiss franc pula meraih pengukuhan berbanding matawang utama, dipengaruhi oleh sentimen pasaran semasa yang kembali bertukar suram.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat