Menjelang Ucapan Lowe, Dolar Aussie Menjunam Ke Paras Terendah 18 Tahun!

434

US dolar terus mengekalkan momentum pengukuhannya berbanding beberapa matawang utama, disokong oleh permintaan terhadap matawang itu yang semakin meningkat di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemelesetan disebabkan COVID-19.

Penularan wabak pandemik coronavirus terus menjadi kebimbangan dengan mencatat 218,768 kes dan 8,945 kematian di seluruh dunia, setakat data pagi ini.

Pasaran ekuiti global terus ‘berdarah’, di mana indeks Dow Jones jatuh 6.3% manakala S&P 500 menyusut 5.18%. Penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula meraih peningkatan sehingga kembali mencecah paras 1.19%.

Sementara itu, dolar Kanada yang sebelum ini ditekan oleh kejatuhan harga minyak, terus diniagakan lemah berbanding USD selepas Presiden AS Donald Trump mengumumka sempadan antara Amerika Syarikat dan Kanada ditutup untuk sementara waktu.

Matawang euro kembali mencatat peningkatan berbanding US dolar selepas Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan program pembelian asset bernilai 750 bilion yang menyasarkan aset sektor awam dan swasta sehingga akhir tahun 2020.

Selain itu, peningkatan permintaan US dolar terus menambah tekanan kepada dagangan matawang pound untuk diniagakan di paras terendah sejak tahun 1985.

Jumlah kematian di UK meningkat dua kali ganda dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka korban setakat ini meningkat kepada 104 manakala kes jangkitan sebanyak 2,626.

Di Asia, dolar Aussie terus mencatat penyusutan ke paras terendah sejak 2002 berbanding US dolar meskipun data pekerjaan yang diterbitkan pagi ini menunjukkan kadar pangangguran Australia menurun pada Februari iaitu lebih baik daripada jangkaan.

Pasaran kini menumpukan perhatian kepada ucapan Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Philip Lowe pada tengahhari ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai langkah yang akan diambil oleh bank pusat itu.

Dolar New Zealand didagangkan di paras terendah terbaru sejak 2009 berbanding USD selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) New Zealand pada suku keempat 2019 menepati jangkaan dengan pertumbuhan 0.5%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat