Mesyuarat G20 : Ini Pendapat Pemimpin Kewangan Terhadap Kesan COVID-19 Pada Pertumbuhan Global

358

Ketua kewangan dari 20 negara ekonomi terbesar dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan meningkat secara sederhana pada tahun ini, selain turut berjanji akan memantau kesan wabak coronavirus terhadap pertumbuhan global.

Mesyuarat G20 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada hujung minggu, menghimpunkan pemimpin dan gabenor bank pusat dari 19 negara dan Kesatuan Eropah untuk berbincang mengenai ekonomi semasa.

Pertumbuhan global dijangka meningkat dengan sederhana pada tahun 2020 dan 2021 disokong oleh langkah pelonggaran dasar monetari daripada bank pusat utama dan keredaan ketegangan perdagangan A.S dan China.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi global kekal perlahan dan risiko penurunan terhadap prospek masih berterusan, termasuk ketegangan geopolitik dan perdagangan serta ketidaktentuan dasar.

Sehubungan itu, bank pusat dikatakan akan meningkatkan pemantauan terhadap risiko global, termasuk virus maut COVID-19 dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya untuk menangani risiko-risiko tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin berkata bank pusat akan melihat pilihan untuk bertindak balas terhadap wabak itu jika perlu, sementara Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk melonggarkan dasar jika perlu.

Mnuchin juga berkata, masih terlalu awal untuk menentukan impak jangka panjang daripada virus maut tersebut tetapi dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi, beliau berpendapat bahawa kesannya dapat dilihat lebih jelas.

Selain itu, Menteri Kewangan Saudi Mohammed al-Jadaan memberitahu sidang akhbar di mesyuarat itu, bahawa negara-negara lain dan semua negara G20 bersetuju secara kolektif untuk campur tangan dalam pelonggaran dasar jika diperlukan.

Virus maut dari China itu kini dilaporkan telah merebak dengan luas di luar negara China, di mana jumlah kes disahkan naik mendadak di Korea Selatan, Iran dan Itali menyebabkan kebimbangan terhadap impak ekonomi global semakin meningkat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat