Walaupun dihujani tentangan daripada Securities and Exchange Commission (SEC), Meta berani mengumumkan pengujian terbaharu di platform utama realiti maya, Horizon Worlds.
Dalam perkembangan terkini, Meta telah melancarkan pengujian aktiviti perdagangan dalam metaverse di mana para pengguna boleh menjual beli item maya bermula dari perhiasan, pakaian, mod karakter, dan lain-lain di ruang tersebut.
Pun begitu, pengujian yang dilakukan hanya terhad melibatkan pengguna Horizon Worlds di Amerika Syarikat (AS) yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.
Berkemungkinan sebaik sahaja tamat tempoh pengujian, Meta akan meluaskan lagi fungsi jual beli kepada pengguna seluruh dunia.
Pembayarannya pula akan diproses melalui Meta App Store.
Fungsi terbaharu yang diperkenalkan Meta ini bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa platform sosial: Roblox dan Rec Room terlebih dahulu mengetengahkan konsep sama – penggunanya boleh menjual setiap item yang dihasilkan.
Lumayan jugalah kerana pengguna mereka benar-benar memanfaatkan keistimewaan tersebut.
Setakat Februari, Horizon Worlds berjaya menyaksikan 300,000 pengguna bulanan dari AS dan Kanada sejak pelancarannya dalam beberapa bulan pertama.
Menariknya, Horizon Worlds juga telah berkembang menampung 10,000 ‘dunia’ yang boleh menjadi tempat untuk bertemu dengan kawan-kawan atau saudara-mara secara maya.
Tetapi sehingga kini tiada tanda-tanda Horizon Worlds menembusi pasaran Malaysia.