Mexico Bantutkan Usaha OPEC Untuk Akhiri Perang Harga

521

Usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya OPEC+ dalam memutuskan pemotongan pengeluaran minyak mentah dalam satu rundingan pada Khamis, malangnya dibantutkan oleh Mexico yang tidak bersetuju dengan syarat baru yang dicadangkan.

Terdahulu, anggota OPEC, termasuk Arab Saudi dan Rusia dilaporkan telah bersetuju dengan cadangan untuk pemotongan sehingga 10 juta tong sehari pada bulan Mei dan Jun.

Selain itu, mereka turut bersetuju untuk pengurangan sebanyak 8 juta tong sehari untuk bulan seterusnya sepanjang tahun ini. Bermula pada bulan Januari 2021 pula, potongan itu akan berkurangan kepada 6 juta tong sehari, dan akan diteruskan sehingga 22 April.

Mexico pada awalnya dikatakan turut bersetuju dengan cadangan ini, malah mereka hampir memuktamadkan perjanjian. Bagaimanapun, ia kemudiaannya menolak cadangan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kuota pemotongan baru sebanyak 1.353 juta tong sehari.

Hal ini kerana, negara itu telah merancang untuk memperkenalkan pakej pelaburan tenaga bernilai $13.5 bilion untuk membantu syarikat minyak tempatan, Pemex dalam meningkatkan pengeluarannya kepada 2 juta tong sehari menjelang akhir tahun ini.

Seusai sahaja mesyuarat tersebut berakhir, Setiausaha Menteri Tenaga Mexico, Rocío Nahle memberitahu bahawa negara itu bersedia untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari untuk 2 bulan akan datang.

Harga minyak mentah WTI Amerika Syarikat jatuh 9.29% kepada $22.76 setong, di mana sebelum ini niaga hadapan meningkat lebih 12%. Sementara penanda aras minyak metah Brent pula menyusut 4.14% kepada $31.48 setong, selepas meningkat ke paras ketinggian $36.40 setong.

OPEC+ memberitahu bahawa perjanjian tersebut akan dimuktamadkan sekiranya Mexico bersetuju untuk menandatanganinya. Rundingan seterusnya akan diteruskan oleh kumpulan 20 ekonomi utama (G20) pada hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat