Mimpi Buruk Telah Berakhir, Saham Genting Bakal Jadi Buruan

966

RHB Research Institute menyatakan ‘mimpi buruk’ Genting Malaysia Bhd (GenM) telah berakhir selepas melihat nilai semasa syarikat itu berada pada kedudukan terbaik untuk pulih.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran ‘pembelian’ bagi GenM dengan harga sasaran sebanyak RM2.59 yang merupakan kenaikan sebanyak 23% daripada harga saham terkini syarikat berkenaan iaitu RM2.11.

“Kami baru-baru ini melawat Resorts World Genting (RWG) dan peningkatan yang ketara dari segi kedatangan pengunjung mengukuhkan lagi pandangan positif kami mengenai kadar pemulihan GenM selepas pembukaan semula RWG,” kata penganalisa RHB, Loo Tungwye dalam notanya hari ini.

Berikutan sempadan antarabangsa yang masih ditutup, Tungwye menyatakan RWG akan menerima manfaat daripada aktiviti pelancongan domestik.

“Kami percaya langkah pemulihan akan berjalan lancar dengan kelonggaran peraturan penjarakan sosial dan kemungkinan penemuan vaksin.

“Pengurusan GenM sebelum ini memaklumkan kedatangan pengunjung harian telah meningkat sebanyak 50% sebaik sahaja dibuka semula,” ujar Tungwye.

Tungwye percaya GenM telah mencapai titik perubahan, selepas hampir kesemua fasilitinya dibuka semula, didorong oleh pemulihan perniagaan yang menggalakkan.

“Ketika dunia semakin hampir menemui vaksin Covid-19, GenM merupakan antara yang akan menerima kesan baik daripada penemuan itu,” ujarnya lagi.

Tungwye bagaimanapun menekankan beberapa risiko berkaitan unjurannya termasuklah pemulihan Covid-19 yang perlahan, perubahan faktor keberuntungan dan risiko pengawalseliaan.

Saham GenM ketika ini meningkat 2 sen atau 0.95% kepada RM2.13, menjadikan nilai pasarannya kepada RM12.6 bilion.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat