MMC Ambil Langkah Kurangkan Hutang

326

AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas MMC Corporation selepas melaksanakan langkah mengurangkan pegangan sahamnya dalam Red Sea Gateway Terminal Co Ltd (RSGT) daripada 20% kepada 12% saham syarikat itu dan menurunkan sedikit nilai setara (FV) syarikat itu.

Dalam notanya hari ini, bank itu berkata, hasil penjualan 211.1 juta riyal (RM227.6 juta) akan mengurangkan hutang bersih MMC kepada RM8.57 bilion daripada RM8.79 bilion setakat 30 September 2020.

“Kami maklum bahawa pelupusan itu akan menghasilkan keuntungan tetapi jumlahnya tidak diberitahu,” kata AmInvestment Bank seperti dilaporkan oleh Bernama.

Pada Jumaat lalu, MMC mengumumkan akan melupuskan sebahagian kepentingannya dalam RSGT, pengendali terminal kontena bebas di pelabuhan Jeddah Islamic di Arab Saudi.

Bank itu menyifatkan impak pelupusan saham ke atas keuntungan operasi MMC sebagai ‘immaterial’.

“Untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, RSGT menyumbang kurang daripada 5% jumlah keuntungan bersih teras kumpulan,” ujarnya.

AmInvestment Bank menurunkan FV untuk MMC kepada RM1.50 daripada RM1.56 sebelumnya berdasarkan penilaian jumlah bahagian bagi mencerminkan penurunan terkini bank dalam FV untuk Malakoff kepada RM1.00 daripada RM1.10 sebelum ini.

Dalam pada itu, menurut bank berkenaan, tinjauan sektor pelabuhan di rantau ini termasuk Malaysia akan terus berdaya tahan dalam jangka panjang, disokong oleh perdagangan global dan pelaburan dalam sektor pembuatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat