‘Alamak dekat jiran sebelah je tu. Harap tak sampai Malaysia hendaknya.’
Selepas penularannya yang dahsyat di Eropah, kini virus monkeypox mula menapak di rantau Asia Tenggara dengan Singapura mencatat kes pertama virus tersebut.
Kerajaan Singapura mengesahkan bahawa kes Monkeypox pertama telah dibawa oleh seorang pramugara kapal terbang British yang berulang-alik keluar masuk ke negara tersebut sejak pertengahan Jun lalu.
Jelas kenyataan dari pegawai kesihatan Singapura, pesakit masih dalam keadaan stabil selepas disahkan positif pada Isnin dan telah di bawa ke wad pengasingan.
Selain itu, 13 kenalan rapat pesakit merangkumi anak-anak kapal dan rakan sekerja syarikatnya juga telah dikuarantin.
Ia secara tidak langsung menandakan catatan kes pertama di rantau Asia Tenggara selepas benua Eropah melaporkan 2,100 kes di 42 buah negara setakat Mei.
Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kes monkeypox telah menyebabkan 1 kematian selain turut merebak secara meluas ke Afrika Selatan, Amerika Utara dan Australia.
Sebagai makluman, monkeypox kebiasaanya dijumpai di bahagian tengah dan barat Afrika serta jarang merebak ke luar wilayah tersebut.
Ia merupakan sebuah virus dalam keluarga sama seperti cacar namun lebih ringan yang biasanya dibawa oleh monyet.
Terang WHO lagi bahawa penularan monkeypox adalah rendah antara manusia kerana ia memerlukan sentuhan fizikal rapat atau langsung dengan luka atau ulser pesakit.
Dalam pada itu, Korea Selatan juga telah mengesahkan kes pertama di negara mereka.