MPI ‘Terajui’ Bursa Malaysia

226

Saham Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) melonjak sebanyak RM1.60 atau 4.3% kepada RM38.80 selepas syarikat itu sekali lagi merekodkan pendapatan suku tahunan tertinggi pada suku ketiga yang berakhir 31 Mac 2021 (3QFY21).

Pada 12.21 tengah hari, kaunter itu mencecah paras RM38.74, naik RM1.54 atau 4.14%.

Kaunter tersebut merupakan kaunter paling untung pada sesi dagangan bursa tempatan pagi tadi.

Penganalisis Kenanga Research, Samuel Tan berkata, keuntungan bersih MPI pada 3QFY21 meningkat sebanyak tiga kali ganda tahun ke tahun kepada RM74.4 juta, melepasi jangkaan pihaknya manakala keuntungan bersih untuk tempoh 9 bulan pertama 2021 (9MFY21) adalah RM196.7 juta.

“Kami menjangkakan pendapatan syarikat itu akan kekal kukuh untuk mencapai unjuran pendapatan yang ditingkatkan bagi tahun kewangan 2021 (FY21), didorong oleh permintaan pembungkusan cip yang lebih tinggi untuk pusat data, komputer riba dan frekuensi radio 5G berikutan penggunaan kilang kekal tinggi,” jelas beliau.

Tan meningkatkan unjuran keuntungan bersih MPI bagi FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak RM253.1 juta dan RM286.3 juta.

Beliau turut mengekalkan saranan ‘outperform’ dan mengemaskini harga sasarannya kepada RM47.50 berbanding RM47 sebelum ini.

Sementara itu, penganalisis BIMB Securities Research, Afifah Abdul Malek turut meneliti semula unjuran pendapatan MPI untuk FY21 hingga FY23 iaitu antara 26% dan 32% selepas keuntungan bersih 9MFY21 syarikat itu melepasi jangkaannya.

“Kami menjangkakan sumbangan penjualan daripada sektor automotif, pengguna/komunikasi dan industri akan kekal kukuh seiring dengan peningkatan permintaan di seluruh dunia bagi kenderaan elektrik (EV), barangan elektronik pengguna, pusat data dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau mengekalkan saranan ‘beli’ untuk saham syarikat itu dengan harga sasaran sebanyak RM45.

Bagaimanapun, penganalisis AmInvestment Bank Research, Dalilah Fairoz mengekalkan saranan ‘hold’ terhadap MPI dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM36.05.

“Kami terus meminati MPI tetapi berpendapat bahawa saham syarikat itu dinilai dengan harga saham semasa,” kata beliau sambil menambah pendapatan 3QFY21 MPI masih setara dengan unjurannya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat