MR DIY ‘Masuk’ Konstituen FBM KLCI

308

Syarikat MR DIY Group (M) Bhd telah dimasukkan sebagai salah satu daripada 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI untuk menggantikan pembuat sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd.

FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd dalam satu kenyataan bersama semalam berkata, perubahan itu dibuat berikutan kajian separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, yang dilakukan mengikut peraturan asas indeks berkenaan.

“Senarai rizab FTSE Bursa Malaysia KLCI yang terdiri daripada lima juzuk tertinggi indeks mengikut permodalan pasaran adalah Westports Holdings, QL Resources, Supermax, Kossan Rubber dan Inari Amertron,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Senarai rizab itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dinyahkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI mengikut peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga kajian separuh tahun akan datang.

Tambah kenyataan itu, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 menyaksikan lima konstituen baharu iaitu D&O Green Technologies, Greatech Technology, Hong Leong Industries, Supermax dan UMW Holdings manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah menerima MR DIY Group dan Press Metal Aluminium Holdings.

Terdapat 39 inklusif dan lima pengecualian bagi Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS, sekali gus memperluaskan bilangan konstituen kepada 316.

“Syarikat yang baru dimasukkan juga akan dinilai prestasi, pendedahan tadbir urus sosial dan korporat (ESG) mereka selaras dengan Model Penarafan FTSE4Good dalam kitaran semakan seterusnya,” katanya.

Syarikat yang memenuhi kriteria kemasukan dengan menangani dan meletakkan langkah-langkah bagi mengurangkan risiko ESG mereka akan dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.

Semua perubahan konstituen akan berkuat kuasa pada 21 Jun dan kajian seterusnya akan berlangsung menjelang Disember tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat