MYEG Beli 10 Juta Vaksin China!

472
  1. MY EG Services Bhd (MYEG) memeterai surat hasrat (LoI) membabitkan pembelian sebanyak 10 juta dos vaksin COVID-19 keluaran firma China, Anhui Zhifei Biopharmaceutical Co Ltd.

Ini bagi memastikan kuantiti seterusnya bagi vaksin subunit rekombinan protin atau campuran semula adalah tersedia bagi penghantaran seawal Ogos ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, MYEG berkata, syarikat itu merupakan pemegang hak eksklusif pengedaran vaksin tersebut selama tiga tahun di Malaysia, manakala menerusi satu kerjasama berasingan pula meliputi hak pengedaran eksklusif dua tahun di Filipina.

Bernama melaporkan, syarikat tersebut juga dalam proses perbincangan untuk usaha sama seumpamanya di negara lain.

“Pada minggu lepas, MYEG telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan program vaksin di Filipina yang akan meliputi pembekalan vaksin bagi segmen kesihatan awam serta jualan untuk pihak swasta,” jelasnya.

Surat hasrat itu bagi memastikan kuantiti vaksin terbabit dapat dihantar seawal Ogos apabila usaha pemberian vaksin menerusi pasaran swasta dibenarkan.

“Ini membolehkan vaksin diimport dan ditawarkan ke pasaran Malaysia apabila dibuka untuk pasaran swasta dan ini tertakluk kepada kelulusan bersyarat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” ujar syarikat berkenaan.

Kos vaksin tersebut akan ditentukan kemudian berdasarkan kelulusan bersyarat oleh NPRA.

MYEG juga yakin apabila ditawarkan di peringkat tempatan, vaksin berkenaan juga dapat membantu melonjakkan lagi usaha negara mencapai imuniti berkelompok bagi menangani virus COVID-19.

Vaksin yang dibangunkan bersama oleh Zhifei dan Institut Mikrobiologi Akademi Sains China turut menjadi antara pilihan di negara itu sejak mendapat hak kegunaan kecemasan pada awal Mac lepas berikutan kelebihannya sebagai vaksin subunit rekombinan protein.

Lebih 60 juta dos telah diberikan di sekurang-kurangnya 12 kawasan peringkat wilayah, termasuk Beijing selain turut digunakan di negara lain seperti Uzbekistan.

Teknologi rekombinan protein telah terbukti berkesan dan digunakan bagi pembangunan vaksin seperti Hepatitis B serta kayap.

Selain itu, penghasilan vaksin berkenaan secara berskala besar juga lebih mudah, tidak memerlukan penggunaan makmal bercirikan aspek keselamatan bio gred lebih tinggi, lebih cekap kos selain penyimpanan dan penghantaran yang mudah.

Sejak penularan COVID-19, MYEG telah memanfaatkan kekukuhan serta kepakarannya sebagai peneraju penyedia perkhidmatan digital di rantau ini dengan memperkenalkan beberapa inisiatif yang menjadi antara pendekatan menyeluruh untuk membantu membendung pandemik itu.

Selain vaksin, usaha itu termasuk perkhidmatan saringan, pengurusan kuarantin dan sistem pas perjalanan kesihatan digital.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat