Nada Hawkish RBNZ Dorong Lonjakan Ketara Pada Dagangan NZD/USD

0 206

Setelah bergerak mendatar sejak awal dagangan minggu ini, matawang dolar New Zealand mengejutkan pasaran dengan lonjakan ketara harga pada sesi pasaran Asia hari ini.

Ini adalah susulan keputusan mesyuarat bank pusat New Zealand pertama tahun ini yang bernada hawkish telah menyokong pengukuhan dolar Kiwi setelah bergerak lemah beberapa minggu ekoran terkesan oleh isu wabak Coronavirus.

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) telah mengekalkan kadar feadah di paras 1.00% seperti yang telah dijangkakan.

Namun bank pusat turut mengubah pendirian polisi ke arah lebih optimis dengan menyatakan berkemungkinan tiada penurunan kadar faedah untuk tahun 2020.

Susulan keputusan mesyuarat diumumkan, dapat dilihat harga melonjak lebih 50 pips pada carta harga pasangan matawang utama NZD/USD.

Dagangan NZD/USD yang membuat penurunan pada awal minggu dilihat mencecah paras terendah 3 bulan pada 0.63800 yang merupakan zon support harga pada November 2019.

Namun harga mula menunjukkan kenaikan pada dagangan semalam apabila berjaya melepasi halangan dinamik Moving Average (MA50) walaupun pergerakan harga masih perlahan.

Memulakan dagangan pada sesi Asia hari ini sekitar 0.64000 dengan perlahan, harga telah menunjukkan lonjakan ketara harga sehingga ke paras 0.64700 setakat jam 10.20 pagi waktu Malaysia. Kenaikan tersebut telah mencatatkan lebih 70 pips ke paras lebih tinggi.

Dengan momentum pengukuhan Kiwi, harga dilihat akan menuju paras penting pada 0.65000 sebelum kenaikan yang berjaya diteruskan akan menguji zon SBR (support become resistance) pada sekitar 0.65300.

Namun jika risiko Coronavirus kembali menekan dagangan NZD, harga berkemungkinan turun semula ke zon support sebelum ini sehingga ke paras terendah pada 0.63800 yang diuji semalam.

Lihat gambar carta pasangan matawang NZD/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.

 

Anda mungkin juga berminat