Matawang pound terus meraih minat belian baru dari para pelabur ketika sesi dagangan pertengahan minggu, di mana penganalisis menyatakan pelancaran vaksin di UK sebagai pemacu utama kepada permintaan.
Pound sterling sekali lagi menembusi paras ketinggian terbaru sejak Mei 2018 pada awal pembukaan sesi Eropah hari ini dengan didagangkan menguat pada 1.37500 berbanding US dolar.
Pelaksanaan program vaksinasi telah dilakukan secara meluas sejak Agensi Pengawalseliaan Produk Perubatan dan Kesihatan (MHRA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech pada Disember 2020.
Setakat hari ini, hampir 7 juta rakyat UK dilaporkan telah menerima vaksin Covid-19, menurut data yang dikemaskini oleh Sky News.
Para menteri mengatakan bahawa kebanyakan golongan berusia 85 tahun telah menerima vaksin dan matlamat kerajaan untuk menvaksinasi kumpulan ini dijangka akan dipenuhi pada pertengahan Februari.
Namun begitu, UK juga berdepan dengan tekanan daripada angka korban yang semakin meningkat akibat wabak coronavirus dan ancaman varian baru yang cepat menular.
Jumlah korban di UK akhirnya melepasi angka 100,000 selepas terdapat pertambahan sebanyak 1,631 kematian pada hari Selasa.