Dolar greenback memanjangkan penurunannya hingga ke paras terendah 4 bulan berbanding sekumpulan matawang utama pada 94.84, di tengah-tengah ketegangan antara AS dan China semakin meningkat.
Ekoran daripada arahan Amerika Syarikat supaya pejabat konsulat China di Houston ditutup pada Rabu, Beijing juga dilaporkan mengambil tindakan yang sama dengan menutup konsulat AS di Chengdu.
Hubungan AS dan China semakin merosot tahun ini disebabkan isu yang dimulai dari wabak coronavirus, teknologi Huawei, undang-undang Hong Kong dan tuntutan wilayah Laut China Selatan.
Bagaimanapun, selagi ia tidak akan menjejaskan perjanjian perdagangan antara dua negara itu, pelabur mungkin masih merasa selamat.
Ketidakpastian dalam hubungan antara dua negara itu menyebabkan dolar Aussie didagangkan dengan jajaran yang kecil hari ini berbanding US dolar. Pelabur kini menantikan tindakan balas daripada AS susulan penutupan konsulatnya di Chengdu.
Sementara itu, euro terus mengekalkan momentum pengukuhannya untuk didagangkan tinggi berbanding US dolar diangkat oleh keyakinan terhadap rangsangan fiskal Eropah yang dipersetujui pada Selasa.
Selain itu, pound sterling kekal didagangkan di atas paras harga 1.2700 berbanding US dolar walaupun masih ditekan oleh ketidakpastian Brexit dan ketegangan hubungan antara UK dan China setelah Perdana Menteri Boris Johnson menangguhkan perjanjian ekstradisinya dengan Hong Kong.
Di samping itu, dolar Kanada terus menguat di sekitar paras ketinggian 1 bulan berbanding USD, mengikuti kenaikan harga minyak mentah.