Pasaran Minyak Dalam Proses Pengimbangan Semula, Harga WTI Kekal Di Atas $50

56

Harga minyak mentah jatuh sedikit pada sesi Asia hari Isnin berikutan para pelabur bertindak mengambil keuntungan selepas OPEC dan non-OPEC mengeluarkan kenyataan yang bahawa pasaran akan kembali seimbang pada hari Jumaat lalu.

Minyak West Texas Intermediate (WTI) jatuh 0.28% kepada $50.52 setong, masih menghampiri paras tertinggi sejak 25 Mei lalu pada $51.11 yang berjaya di capai pada hari Rabu lepas. Harga minyak Brent pula susut 0.14% kepada $56.34 per tong pada jam 12.10 tengahhari.

Dalam berita berasingan, parti AfD di Jerman membuat kejutan dalam pilihan raya kali ini, memperoleh kedudukan ketiga dengan undian sebanyak 13.5% sekaligus melayakkan mereka memasuki parlimen kerana sistem undian di Jerman memerlukan sekurang-kurangnya 5 peratus kerusi di parlimen.

Parti gabungan CDU/CSU berjaya mengekalkan kejayaan dengan undian 32.5% namun sokongan kerajaan jatuh daripada 41.5% pada pilihan raya 2013. Kini, parti pemerintah terpaksa membentuk kerajaan campuran bersama parti lawan seperti FDP dan Green supaya mendapat undian majoriti di parlimen.

Selain itu, berita gempabumi di Korea Utara berukuran 3.4 skala ritcher turut meningkatkan spekulasi terhadap ujian nuklear terbaru mereka, namun agensi kaji cuaca daripada Korea Selatan mengatakan kemungkinan gempa tersebut merupakan gempa semula jadi bukan daripada ledakan nuklear.

Minggu lepas harga minyak meningkat pada hari Jumaat, mengekalkan penutupan di paras tertinggi bulanan, didorong dengan keyakinan para pelabur bahawa pasaran minyak sudah mula stabil. Harga minyak WTI yang meningkat 1.5% pada minggu lalu, merekodkan kenaikan tiga minggu berturut-turut.

Pasaran hadapan brent pula naik hampir 2.2%, tutup di paras $56.86 setong selepas berjaya melepasi paras tertinggi enam bulan yang lalu menjadikan kenaikan harga selama empat minggu berturut-turut.

Pengeluar utama minyak yang diketuai OPEC bermesyuarat di Vienna pada Jumaat lepas bagi membincangkan peningkatan kadar pematuhan syarat perjanjian had pemotongan pengeluaran minyak, namun seperti jangkaan mereka akan meneliti lebih lama pergerakan pasaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Kadar pematuhan syarat pemotongan pengeluaran meningkat sehingga 116% bagi bulan Ogos, melonjak tinggi berbanding bacaan 94% pada bulan sebelumnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat