Pasaran Saham Tumbang Sementara Bon Cemerlang Selepas Komen Fed Ini

210

Indeks-indeks saham global merudum dari puncak sementara hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mencanak ke paras tertinggi beberapa tahun sejurus selepas komen Gabenor Federal Reserve (Fed), Lael Brainard berkenaan pengetatan dasar monetari yang agresif.

Brainard dalam komennya menyatakan kemungkinan penggabungan kenaikan kadar faedah dan pengurangan kunci kira-kira yang segera adalah perlu bagi membawa dasar monetari AS ke ‘kedudukan lebih neutral‘ pada akhir tahun ini dan pengetatan selanjutnya akan dibuat mengikuti keperluan.

Sementara itu, Mary Daly, Presiden San Francisco Fed menganggarkan mesyuarat seterusnya yang dijadualkan pada 3 hingga 4 Mei sebagai kemungkinan permulaan pengurangan kunci kira-kira.

Fed dijangka akan mengeluarkan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis waktu tempatan sementara European Central Bank (ECB) pula akan menerbitkan minit yang sama pada Jumaat.

Dalam pada itu, saham teknologi dan pertumbuhan menerajui penurunan di Wall Street dengan kadar lebih tinggi dilihat sebagai negatif buat saham pertumbuhan.

Indeks purata Dow Jones Industrial jatuh 280.7 mata atau 0.8% pada 34,641.18, S&P 500 hilang 57.52 mata atau 1.26% pada 4,525.12 dan Nasdaq Composite turun 328.39 mata atau 2.26% pada 14,204.17.

Menurut Peter Tuz, Presiden Chase Investment Counsel Virginia, pasaran akan dipengaruhi oleh kadar faedah dan komen Fed sepanjang minggu ini.

Indeks STOXX 600 pan Eropah naik 0.2% dan tolok saham MSCI seluruh dunia susut 0.97%.

Bagi Perbendaharaan pula, hasil nota 10 tahun naik 13.1 mata asas pada 2.5422% sementara nota hasil 2 tahun canak 7.2 mata asas pada 2.500%.

Seperkara lagi, pelabur juga dilihat memberi tumpuan kepada perkembangan Rusia-Ukraine dengan pihak Barat dikatakan sedang bersedia memperluaskan sekatan ke atas semua pelaburan baru di Rusia.

Ringkasan mengenai pasaran mata wang, indeks dolar naik ke paras 99.526 sementara Euro turun 0.6% pada $1.0900 dengan tumpuan akan terarah pada pilihan raya di Perancis.

Australia dolar naik 0.4% pada US$0.77521 dan New Zealand dolar capai 0.2% pada US$0.6937.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat