Pelabur Dinasihatkan Jauhi Saham Berkaitan Sektor Ini

1,110

Pelabur saham tempatan mungkin perlu mengelakkan saham berkaitan sarung tangan buat masa ini memandangkan Kenanga Investment Bank Research masih mengekalkan penarafan ‘underweight’ terhadap sektor tersebut.

Ini susulan jangkaan sektor itu akan terus berdepan landskap perniagaan mencabar ekoran peningkatan kos, kelemahan harga jualan purata dan kapasiti besar yang membawa kepada kadar penggunaan industri yang rendah.

Dalam nota terbaru yang dikeluarkan, Kenanga menyatakan pandangannya berbeza dengan Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yang melihat industri itu akan berubah pada 2023.

Hal ini kerana, ramalan permintaan bekalannya menunjukkan bahawa ia akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Ia mungkin memakan masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi pertumbuhan permintaan yang konsisten untuk menampung sepenuhnya lebihan kapasiti semasa dalam industri, menurut nota itu.

Pun begitu, selari dengan unjuran MARGMA, firma penyelidikan itu meramalkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023.

Bagaimanapun, walaupun dengan pertumbuhan tersebut, ia dilihat tidak akan membantu mengurangkan keadaan lebihan kapasiti yang dijangkakan bakal meningkat 16% lagi pada tahun ini.

Ketika penulisan, saham Top Glove meningkat 5.61% pada RM1.13, Kossan naik 2.9% kepada RM1.42, Supermax Corp tambah 5.6% kepada RM1.03 dan Hartalega lonjak 4.8% kepada RM2.15.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat