Pelabur Gelisah Menantikan Keputusan Perkembangan Rundingan Dagang AS-China Minggu Ini

408

Matawang dolar Amerika Syarikat bergerak di sekitar paras terendah enam minggu berbanding Yen pada awal dagangan Khamis, melemah berbanding matawang safe-haven tersebut berikutan sentimen pasaran yang masih berisiko.

Kebimbangan pasaran masih terarah pada konflik dagangan antara Amerika Syarikat dan China ekoran ancaman tarif oleh Presiden Donald Trump yang terbaru terhadap barangan China.

Trump pada Rabu mengatakan bahawa beliau gembira untuk mengenakan kenaikan kadar tarif terhadap China dan hal ini berkemungkinan akan mencetuskan tindakan balas oleh China semula seperti yang pernah berlaku pada situasi sebelum ini.

Rundingan walau bagaimanapun masih diteruskan namun pasaran agak gelisah menantikan keputusan perbincangan dua hari tersebut di Washington sama ada wakil rundingan dari China mampu meyakinkan White House untuk membatalkan hasrat bagi kenaikan kadar tarif pada Jumaat.

USD membuat penurunan sehingga mencecah paras sekitar 109.900 berbanding Yen dan berkemungkinan menuju ke paras lebih rendah sekitar 109.700 iaitu paras yang terendah sejak dagangan 25 Mac yang lalu.

Jangkaan untuk Amerika Syarikat dan China mencapai persetujuan dalam rundingan pada minggu ini semakin goyah, membuatkan para pelabur keluar dari pelaburan aset yang berisiko dan beralih ke aset yang lebih selamat dan berpulangan rendah. Pasaran saham global juga turut dilaporkan mengalami penurunan buat masa ini.

Turut menerima tempias daripada isu perang dagang ini adalah matawang komoditi dolar Australia dan juga dolar New Zealand.

Aussie dilihat terus kekal bergerak lemah dalam pasaran dengan faktor fundamental oleh bank pusat juga masih membuatkan dagangan AUD berisiko.

Sementara, dolar NZD pula yang terkesan oleh isu perang dagang AS-China, tekanan lebih dirasai setelah bank pusat New Zealand telah menurunkan kadar faedah pada mesyuarat dasar untuk bulan Mei semalam.

Beralih ke London, dagangan Pound Sterling merosot pada Rabu berikutan isyarat daripada perkembangan Brexit menunjukkan rundingan antara kerajaan Britain bersama parti pembangkang dilihat goyah.

Rundingan antara parti Konservatif dan parti Buruh tidak menunjukkan pencapaian yang meyakinkan dan kebimbangan yang melanda terus mencabar kepimpinan Perdana Menteri Theresa May.

Dengan kecairan dalam pasaran kewangan yang agak rendah buat masa ini dan beberapa minggu sebelumnya, pelabur berkemungkinan mengurangkan posisi dagangan yang besar terhadap Sterling.

Sesi pasaran New York pada malam ini akan tertumpu pada data imbangan dagangan di Kanada. Turut dikeluarkan bersama adalah data-data ekonomi Amerika Syarikat termasuk indeks harga pengeluar, data imbangan dagangan dan juga data tuntutan pengangguran. Tidak lupa juga untuk memantau ucapan oleh pengerusi Fed, Jerome Powell yang akan mempengaruhi dagangan USD semasa.

Terus pantau perkembangan isu-isu semasa dalam pasaran kewangan untuk membantu anda peka terhadap perubahan pergerakan harga semasa di samping membantu juga anda mengawal risiko pada posisi dagangan harian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat