Lelaki Ini Pasang Pautan Satelit Di Asrama Untuk Asaskan Hedge Fund!

881

Kenneth C. Griffin dilahirkan pada 1968 di Daytona Beach, Florida. Ketika berada di sekolah menengah, beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan berkepimpinan sehingga dilantik menjadi presiden kelab matematik.

Pada 1986, Griffin mula melabur pada tahun pertama pengajiannya di Harvard University selepas membaca sebuah artikel dalam majalah Forbes. Seterusnya, beliau melibatkan diri dalam hedge fund berkaitan dengan bon yang boleh ditukar.

Dana tersebut memperoleh modal sebanyak $265,000 daripada rakan-rakan dan keluarga termasuk wang daripada neneknya. Untuk menjayakan hedge fund tersebut, Griffin telah memasang pautan satelik di asramanya untuk meneliti data pasaran semasa. Benarlah kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’.

Strategi pelaburan yang dipraktikkan olehnya dapat membantu untuk memelihara modal ketika berlakunya krisis pasaran pada tahun 1987. Rentetan daripada kejayaannya itu, Griffin telah melancarkan sebuah lagi dana. Dengan penubuhan kedua-dua dana tersebut, Griffin telah menguruskan lebih daripada $1 juta aset.

Dua tahun kemudian, beliau berjaya menamatkan pengajiannya dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi.

Setelah itu, Griffin telah diberikan modal pelaburan sebanyak $1 juta oleh Franck C. Meyer, seorang pelabur dan pengasas Glenwood Capital LLC. Uniknya, apa yang dilakukan oleh Griffin adalah di luar jangkaan Meyer! Melalui pelaburan tersebut, Meyer telah berjaya memperoleh pulangan sebanyak 70%.

Pada tahun 1990, beliau mengasaskan Citadel dengan modal sebanyak $4.6 juta. Selepas 8 tahun penubuhan, Citadel berjaya berkembang dengan memiliki kakitangan seramai 100 orang dengan $1 bilion modal pelaburan.

Berikutan dengan kejayaan tersebut, Griffin telah tersenarai dalam CFO Magazine’s Global 100 sebagai individu paling berpengaruh dalam bidang kewangan. Selain itu, beliau turut muncul dalam Forbes selama beberapa kali.

Pada tahun 2003, pendapatan yang dicatatkan oleh Griffin ialah sebanyak $650 juta dan merupakan individu kaya termuda yang disenaraikan.

Seterusnya, pada tahun berikutnya, beliau tersenarai sebagai salah seorang figura terkaya di bawah umur 40 tahun di Amerika Syarikat yang dipaparkan dalam majalah Fortune. Pendapatan Griffin pada tahun 2007 ialah sebanyak $3 bilion manakala pada tahun 2014 dianggarkan sebanyak $5.5 bilion.

Kini, nama Kenneth C. Griffin tidak asing lagi dalam dunia pelaburan bahkan beliau menjadi idola buat kebanyakan pelabur. Mungkin anda juga adalah ‘Kenneth C. Griffin’ akan datang!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat