Penganalisis Jangka Minat Belian Terhadap Sektor Ini

361

Indeks di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini tetapi merosot kemudiannya berikutan sentimen berhati-hati menjelang keputusan pilihan raya ulangan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.16 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.89 mata kepada 1,602.46 selepas dibuka tinggi 2.4 mata kepada 1,610.78 daripada 1,608.35 semasa ditutup pada Selasa.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 293 berbanding 252, manakala 350 kaunter tidak berubah, 1,187 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Bernama melaporkan, jumlah dagangan sebanyak 719.65 juta unit bernilai RM370.11 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin berkata, saham AS pulih semalam berikutan pembeli kembali susulan data ekonomi yang lebih baik dan berharap kepada pemulihan ekonomi AS yang cepat.

Bagaimanapun, katanya sentimen kekal rendah berikutan ramai yang menunggu keputusan pilihan raya ulangan Senat Georgia.

“Di peringkat tempatan, kami yakin FBM KLCI akan diniagakan lebih tinggi hari ini berikutan harga minyak mentah yang lebih baik dan kami menjangka indeks berada dalam julat 1,610/15 berikutan kaunter sarung tangan yang turun naik.

“Bagi hari ini, kami menjangka minat belian boleh beralih kepada saham minyak dan gas (O&G) berikutan harga minyak mentah yang lebih baik dengan harga minyak mentah Brent kini beralih hampir kepada AS$54 setong,” ujarnya dalam nota hari ini.

Katanya beliau yakin beberapa saham O&G yang perlu dilihat ialah Hibiscus, Reach, Uzma, KNM, Reservoir Link dan Serba Dinamik.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.27, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing merosot 12 sen kepada RM20.50 dan RM5.53, dan Tenaga berkurangan 10 sen kepada RM10.44.

Bagaimanapun, Petronas Chemicals naik tiga sen kepada RM7.13 dan Top Glove meningkat enam sen kepada RM5.78.

Daripada saham cergas, DGB naik lima sen kepada 32 sen, AT Systematization dan Iris, masing-masing meningkat setengah sen kepada 18 sen dan 43 sen, Vortex menambah satu sen kepada enam sen dan Bumi Armada menokok dua sen kepada 37 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 31.6 mata kepada 11,587.79, Indeks FBMT 100 merosot 37.42 mata kepada 11,320.57, FBM 70 berkurangan 32.76 mata kepada 14,878.68 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 13.49 mata kepada 12,961.269.

Bagaimanapun, FBM ACE naik 50.82 mata kepada 10,867.92.

Sementara itu, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.29 mata kepada 174.58, Indeks Perladangan naik 6.08 mata kepada 7,360.74, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 104.28 mata kepada 15,099.88.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat