Penganalisis Saran Dua Sektor Saham

1,965

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada urus niaga pagi hari ini, disokong oleh kegiatan belian membabitkan kaunter berwajaran tinggi, didahului oleh Public Bank dan TNB.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.94 mata atau 0.06 peratus kepada 1,578.69 daripada 1,577.75 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lalu.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 0.95 mata lebih tinggi pada 1,578.70.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 304 berbalas 239 sementara 320 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 464.0 juta unit bernilai RM239.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya sokongan daripada kegiatan membeli boleh muncul hari ini walaupun selepas FBM KLCI mempamerkan aliran menurun minggu lalu kerana sentimen pasaran cenderung untuk berubah menjadi positif, didorong oleh berita ketibaan vaksin Sinovac Covid-19 China ke Malaysia pada Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan perkembangan politik mungkin juga boleh menjadikan pasaran bergerak tidak menentu. Dalam pada itu, trend menaik minyak sawit mentah dan minyak mentah Brent akan terus bertahan dalam jangka pendek sehingga pertengahan berdasarkan kepada momentum semasa,” katanya dalam satu nota hari ini.

Untuk fokus sektor pula, Malacca Securities terus menyarankan saham-saham yang bertemakan pemulihan seperti sektor pelancongan dan berkaitan pengguna.

“Sementara itu, kami menjangkakan peserta berkaitan pembinaan dan solar yang terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) untuk segmen solar akan diniagakan lebih kukuh susulan kenyataan daripada Sultan Johor,” ujarnya.

Johor akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam di Asia Tenggara menerusi pembukaan taman tenaga solar di Pengerang, Kota Tinggi dengan kos projek bernilai RM1.4 bilion.

Projek itu, yang diberi nama ‘Taman Solar Sultan Ibrahim’, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di rantau ini dengan kapasiti 450 megawatt, menurut catatan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

Saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Public Bank naik tujuh sen kepada RM4.23, TNB meningkat 18 sen kepada RM10.28, IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM5.12, Maybank lebih tinggi enam sen kepada RM8.09, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM18 dan Top Glove turun 19 sen kepada RM5.05.

Dalam kalangan saham paling cergas, Vivocom melonjak 13 sen kepada RM1.18, Nexgram dan Sapura Energy masing-masing naik setengah sen kepada lima sen dan 15 sen, sementara Bumi Armada meningkat 1.5 sen kepada 41 sen, EA Holdings tidak berubah pada empat sen dan Straits Interlogistics susut satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 18.64 mata kepada 11,632.81, Indeks FBMT 100 mengembang 16.91 mata kepada 11,318.91 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 1.05 mata kepada 12,980.2.

FBM 70 meningkat 62.20 mata kepada 15,523.37 dan FBM ACE menambah 16.38 mata kepada 10,889.9.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.13 mata kepada 185.47 dan Indeks Perladangan lebih tinggi sebanyak 16.95 mata kepada 7,194.08.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 48.10 mata kepada 15,050.44.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat