Penggunaan Kamera Badan Pada Pegawai Penguatkuasa Bakal Dilaksana?

371

Pegawai penguatkuasa seperti polis, imegresen dan kastam akan dilengkapi dengan kamera badan dalam usaha mengatasi masalah penyalahgunaan kuasa semasa bekerja, menurut kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad di mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

Berikutan terdapat situasi di mana pegawai dituduh melakukan kekerasan atau salah laku seperti menerima rasuah semasa menjalankan tugas, penggunaan kamera badan ini disyorkan bagi memudahkan siasatan jika berlaku dakwaan daripada orang yang disiasat.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai bila perlaksanaan tersebut akan dijalankan, Dr Mahathir menyatakan ia belum diputuskan lagi kerana ia melibatkan kos kerajaan.

Negara telah mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun kerana berlaku kebocoran di sempadan negara disebabkan masalah salah laku pegawai dan kekurangan kemudahan teknologi yang canggih.

Sehubungan itu, mesyuarat JKKMAR mencadangkan agar kecekapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dapat ditingkatkan melalui peningkatan penggunaan teknologi dalam operasi jabatan.

Antara langkah bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam operasi jabatan ialah membangunkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV), menambah mesin pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan penggunaan Alat Bantuan Operasi (ABO) akan dijalankan.

Selain itu, bagi meningkatkan tahap pemeriksaan serta meningkatkan kecekapan Jabatan Imegresen Malaysia (JIM) dan kredibiliti pegawai imegresen, penggunaan CCTV juga akan dimantapkan di sempadan negara dan depot tahanan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat