Pengukuhan Data Ekonomi Eropah Kembali Mengangkat Dagangan Pound Dan Euro

368

Pasaran sesi Eropah hari ini menyaksikan lonjakan dagangan dolar euro berbanding USD yang disokong oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Zon Eropah.

Jerman mencatatkan pertumbuhan yang tidak dijangka dalam sektor pembuatan, di mana bacaan PMI meningkat kepada 47.8 pada Februari daripada 45.3 bulan sebelumnya dan jauh lebih baik dari jangkaan sebanyak 44.8.

Bagaimanapun, bacaan yang dicatatkan masih dikategorikan sebagai menguncup, merujuk kepada perantaraan 50.0 yang memisahkan penguncupan dan pengembangan.

Hal ini berbeza pula dengan bacaan PMI bagi sektor perkhidmatan Jerman yang menyusut kepada 53.3 daripada bacaan 54.2 yang dicatatkan pada Januari, dan tersasar daripada jangkaan pasaran untuk bertumbuh sebanyak 53.8.

Selain itu, sektor perkhidmatan Perancis mencatat pertumbuhan kepada 52.6 daripada penyusutan 51.1 yang direkodkan pada Januari dan melebihi jangkaan pasaran untuk meningkat 51.4.

Sementara itu, data PMI pembuatan Perancis kembali mencatatkan penguncupan pada Februari dengan bacaan 49.7 daripada 51.1 bulan lalu, serta lebih rendah daripada jangkaan untuk kenaikan 50.7.

Ini merupakan penguncupan pertama aktiviti perkilangan di Perancis dalam tempoh 7 bulan ekoran penurunan pesanan baru disebabkan permintaan rendah sektor automotif, penghentian pengeluaran Boeing 737 Max dan gangguan berkaitan coronavirus.

Secara keseluruhannya, pertumbuhan dalam sektor pembuatan zon Eropah meningkat ke paras tertinggi 12 bulan kepada 49.1 daripada 47.9, manakala perkhidmatan merekodkan bacaan tertinggi dalam tempoh 2 bulan kepada 52.8 daripada 52.5.

Tumpuan pasaran juga terarah kepada pengeluaran data PMI UK, di mana sektor pembuatan memperlihatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 10 bulan dengan bacaan 51.9 pada Februari daripada 50.0 bulan lalu dan jauh lebih baik daripada jangkaan untuk kenaikan 49.7

Berbeza pula dengan bacaan PMI perkhidmatan yang menurun lebih rendah kepada 53.3 daripada 53.9 yang dicatatkan bulan lalu, dan sedikit tersasar daripada pasaran untuk meningkat 53.4.

Bacaan memberangsangkan ini telah mendorong matawang pound untuk diniagakan meningkat berbanding USD.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat