Pengumuman PKPD Cetus Kegelisahan Pelabur

245

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini selepas kebanyakan pelabur agak gelisah berikutan pengumuman penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semalam di sebahagian besar negeri Selangor dan 15 lokaliti di Kuala Lumpur.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.06 mata kepada 1,534.17 daripada 1,534.23 pada penutupan urus niaga Khamis.

Indeks utama dibuka 0.53 mata lebih rendah pada 1,533.70.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 210 berbalas 145 manakala 262 kaunter tidak berubah, 1,548 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 483.15 juta unit bernilai RM186.83 bilion.

Menurut Malacca Securities, pelaksanaan PKPD mulai esok hingga 16 Julai berikutan kadar jangkitan yang semakin tinggi dan berterusan mungkin akan mempengaruhi sentimen pelabur.

Malaysia mencatatkan 6,988 kes COVID-19 baharu dengan Selangor masih mencatat jumlah tertinggi.

Dalam pada itu, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak setelah India menurunkan duti import MSM kepada 10%.

Sementara itu, harga minyak mentah Brent naik sedikit selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) menangguhkan keputusan mereka mengenai rancangan pengeluaran minyak di tengah-tengah permintaan minyak yang pulih, sementara peserta pasaran mengharapkan pengeluaran akan meningkat dalam bergerak ke hadapan.

“Justeru, sektor minyak dan gas mungkin aktif hari ini kerana harga minyak Brent telah mengukuh kepada sekitar AS$75 setong,” ujarnya.

Bagi prestasi seberang laut, pasaran saham AS naik lebih tinggi dalam dagangan semalaman dengan Dow menambah 0.4%, dirangsang oleh data Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI IHS Markit) yang kukuh untuk AS pada Jun iaitu 62.1, tertinggi sejak Mei 2007.

IHS Markit menyatakan kemerosotan paling ketara dalam kalangan negara-negara ASEAN dicatatkan oleh Malaysia, dengan indeks utama turun mendadak ke paras rendah hampir 39.9 pada bulan Jun 2021 daripada 51.3 pada Mei 2021.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Top Glove dan TM masing-masing turun enam sen kepada RM4.01 dan RM6.08, sementara Hartalega susut sembilan sen kepada RM7.05, IOI Corp lemah dua sen pada RM3.77 dan RHB Bank lebih rendah tiga sen kepada RM5.38.

Sebaliknya, IHH naik tujuh sen kepada RM5.63 dan Maybank meningkat dua sen kepada RM8.13.

Bagi kaunter aktif, Serba Dinamik menokok satu sen kepada 39 sen, Sarawak Consolidated naik tujuh sen kepada 82 sen dan KPower menambah empat sen kepada 94.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 9.51 mata kepada 11,163.84, Indeks FBMT 100 susut 8.92 mata kepada 10,877.56 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 16.69 mata kepada 12,170.11.

FBM ACE turun 26.85 mata kepada 7,079.65 dan FBM 70 lemah 45.30 mata kepada 14,449.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.28 mata kepada 15,135.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata pada 186.44, dan Indeks Perladangan naik 1.05 mata kepada 6,446.14.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat