Pergolakan Politik AS Buat Rakyat Menderita

347

Rundingan antara para pemimpin Kongres Amerika Syarikat dan White House berhubung bajet Covid-19, menemui jalan buntu semalam.

Menurut laporan al-Jazeera, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin mencadangkan lanjutan jangka pendek untuk manfaat pengangguran dan larangan pengusiran tempat tinggal namun mendapat tentangan daripada ahli parti Demokrat.

Ahli Demokrat sebaliknya menyalahkan Republikan kerana gagal menyelesaikan isu Covid-19 sehingga kini.

Terdahulu, pentadbiran AS memberikan manfaat pengangguran sebanyak AS$600 seminggu dan larangan pengusiran tempat tinggal sejak Mac lalu dan berakhir pada bulan ini.

Anggota Republikan di Senat dan Demokrat di Dewan Rakyat mencadangkan bajet baharu sebanyak AS$1-3 trilion bagi memastikan ekonomi negara itu terus berjalan namun mereka berbeza pendapat tentang cara dana itu dibelanjakan kelak.

Menurut Speaker Demokrat di Kongres, Nancy Pelosi, pihaknya tidak dapat menerima cadangan tersebut dan menyatakan Republikan langsung tidak membentangkan sebarang rang undang-undang yang melibatkan Covid-19.

Pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer turut menyatakan pendapat yang sama dengan Pelosi.

Ujarnya, AS mengalami krisis ekonomi terburuk dalam tempoh 75 tahun dan krisis kesihatan terburuk dalam tempoh 100 tahun namun Republikan dilihat ‘acuh tidak acuh’ berhubung isu terbabit.

Angka kematian di AS telah merekodkan 150,000 kes hari ini. Negeri Florida, California dan Texas merupakan antara negeri yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi.

Anda mungkin juga berminat