Perjanjian Perdagangan AS-China : Donald Trump Label China Sebagai Penipu!

1,032

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam ucapannya di Kelab Ekonomi New York awal pagi tadi, tidak memberikan apa-apa maklumat baru mengenai perjanjian perdagangannya dengan China tetapi menyifatkan penyelesaian perjanjian tersebut sebagai ‘tidak lama lagi’.

Ucapan Trump merupakan yang paling dinanti-nantikan oleh pasaran dengan harapan terdapat isyarat positif mengenai pedagangan yang terkandung dalam ucapannya, namun hampa apabila ia tidak mempunyai kenyataan yang boleh meningkatkan sentimen.

Bagaimanapun, beliau telah melancarkan serangan terbarunya ke atas China dengan menggelar negara itu sebagai ‘penipu’ kerana telah memanipulasi dan mengambil kesempatan ke atas Amerika Syarikat.

Selain itu, Trump juga menyalahkan pemimpin terdahulu yang membuat rundingan perdagangan dengan China dan membenarkan manipulasi terhadap perjanjian tersebut sehingga membawa kesan buruk kepada pekerja Amerika, khususnya daripada sektor pembuatan.

Beliau berpendapat bahawa industri tidak terjejas oleh dasar perdagangan pentadbirannya dan mengatakan bahawa tidak ada ketidakpastian mengenai peperangan perdagangan.

Dengan menyebut mengenai China yang sudah mula membeli produk pertanian AS, beliau memberi amaran bahawa jika perjanjian ini gagal, China akan dikenakan tarif yang sangat besar.

Sementara itu, Donald Trump turut mengkritik dasar perdagangan Kesatuan Eropah (EU) dengan mengatakan ia mempunyai amalan perdagangan tidak adil untuk pengeluar AS dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang lebih buruk daripada China.

Dalam ucapan yang sama, Trump mengulangi pandangannya mengenai keputusan monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) yang meletakkan AS di posisi persaingan yang lemah berbanding negara-negara lain.

Beliau juga mengkritik tindakan Fed yang mengurangkan kadar faedah terlalu perlahan dan memberitahu beliau lebih menyukai kadar yang negatif.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat