Permintaan Vaksin Pfizer Diunjur Kukuh Untuk Beberapa Tahun

161

Syarikat pengeluar vaksin, Pfizer menjangkakan permintaan untuk vaksin Covid-19 akan meningkatkan pendapatannya untuk tahun-tahun mendatang.

Menurut Pfizer, pihaknya menjangkakan ‘permintaan kukuh’ untuk vaksin berkenaan, sama seperti yang berlaku kepada vaksin selsema.

Pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini, vaksin Covid-19 menjana pendapatan sebanyak AS$3.5 bilion selepas beberapa negara berusaha untuk menyekat penularan wabak itu.

Pendapatan daripada rawatan Covid-19 terbabit dijangka mencecah AS$26 bilion tahun ini, menyumbang lebih satu pertiga daripada penjualan Pfizer.

Unjuran tersebut berdasarkan kontrak yang sudah ditandatangani untuk 1.6 bilion dos vaksin yang akan dihantar pada tahun ini.

Pfizer mengatakan akan menandatangani lebih banyak perjanjian tahun ini dan sedang mengadakan perbincangan mengenai bekalan vaksin bersama beberapa negara untuk tahun hadapan serta seterusnya.

Vaksin dua suntikan adalah produk paling laris untuk Pfizer bagi suku pertama tahun ini.

Perbelanjaan dan keuntungan daripada vaksin tersebut dibahagikan sama rata antara Pfizer dan rakan kongsinya dari Jerman iaitu BioNTech.

Pfizer kini dilaporkan sedang menguji penggunaan suntikan ketiga vaksin sebagai ‘booster’ dan menjangkakan Amerika Syarikat (AS) memberikan kelulusan supaya boleh digunakan pada kanak-kanak berusia antara 12 dan 15 tahun ketika pandemik.

Syarikat berkenaan juga menguji keselamatan dan keberkesanan vaksin itu pada kanak-kanak yang berumur antara enam bulan hingga 11 tahun.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat