Pesawat Boeing 737 Ditembak Jatuh Oleh Peluru Berpandu Iran?

1,654

Nahas pesawat Boeing 737 milik Ukraine yang terhempas di Tehran pagi Rabu lalu didakwa telah terkena peluru berpandu yang dilepaskan oleh Iran selepas serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat berlaku.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata kepada sidang akhbar bahawa pesawat Boeing 737 mungkin dijatuhkan oleh peluru berpandu Iran. Menurut beliau, insiden yang turut mengorbankan 63 rakyat Kanada itu mungkin tidak disengajakan.

“Kami mempunyai risikan daripada pelbagai sumber, termasuk sekutu dan perisikan kami sendiri. Bukti menunjukkan pesawat itu telah ditembak oleh peluru berpandu Iran”, kata Trudeau.

Pesawat yang baru sahaja berlepas ke Kiev dari Tehran telah terhempas beberapa jam selepas peluru berpandu Iran dilancarkan ke pangkalan tentera A.S di Iraq, dan tentera Iran pada ketika itu sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi serangan balas tentera A.S.

Presiden A.S Donald Trump pula menyatakan ketidakpercayaannya terhadap kemalangan pesawat itu disebabkan oleh masalah teknikal.

Sementara itu, seorang pegawai A.S yang memetik kajian menyeluruh mengenai data satelit berkata Washington telah membuat kesimpulan dengan kepastian yang tinggi bahawa peluru berpandu Iran telah menembak jatuh pesawat tersebut.

Bagaimanapun, perkara ini telah dinafikan oleh Iran dengan mendakwa semua laporan tersebut adalah peperangan psikologi terhadapnya.

Semalam Iran dilapor enggan menyerahkan kotak hitam pesawat tersebut kepada pengeluar pesawat berkenaan iaitu Boeing atau Amerika Syarikat. Namun, semua negara yang rakyatnya terlibat dalam nahas pesawat tersebut dan wakil Boeing dibenarkan turut serta dalam proses penyiasatan kotak hitam.

Laporan awal yang dikeluarkan oleh organisasi penerbangan awam Iran pada Khamis menunjukkan pesawat yang berusia 3 tahun itu telah diselenggarakan dua hari sebelum nahas tersebut berlaku.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat