Pound Kembali Melonjak, Aussie Teruskan Momentum Pengukuhan

282

Fokus pasaran sejak semalam masih terarah pada isu Brexit yang mencuri tumpuan apabila mempamerkan pergerakan ketara pada carta harga matawang utama.

Dagangan Pound Sterling merekodkan penurunan ke paras terendah terbaru berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), terendah sejak Oktober 2016 berikutan kebimbangan situasi Brexit tanpa perjanjian bakal berlaku.

Perdana Menteri UK Boris Johnson menentang cadangan untuk melanjutkan tarikh pengunduran Brexit dan tidak akan berunding dengan Brussels walaupun Parlimen mendesak beliau berbuat demikian.

Namun, Pound kembali melonjak dari paras terendah yang direkodkan selepas pelabur melihat peluang untuk parlimen melanjutkan tarikh Brexit.

Parlimen UK telah mengundi menentang kerajaan dengan undian bersetuju untuk menghalang no-deal Brexit meraih 328 undian berbanding 301 undian untuk kerajaan UK.

Dagangan matawang utama dolar USD didagangkan lemah pada sesi New York semalam ekoran data PMI perkilangan tinjauan ISM untuk Ogos yang dikeluarkan semalam mencatatkan bacaan yang merosot.

Bacaan yang menurun tersebut menunjukkan penguncupan bulan pertama dalam sektor pembuatan sejak Januari 2016 yang lalu berikutan pesanan baru dan kadar pekerjaan terjejas disebabkan faktor ketegangan perang dagang AS-China.

Matawang dolar Euro juga masih kekal lemah menjelang keputusan polisi monetari oleh European Central Bank (ECB).

Sementara dagangan dolar Australia kembali mencatatkan kenaikan selepas pengumuman penetapan kadar faedah oleh bank pusat Australia yang mengekalkan kadar di paras 1.00% untuk mesyuarat September.

Kenyataan dikeluarkan oleh Reserve Bank of Australia (RBA) juga memberikan isyarat yang positif dengan ramalan ekonomi Australia akan kembali berkembang disokong oleh kadar faedah yang rendah.

Pada sesi pasaran Asia hari ini pula, dagangan Aussie meneruskan momentum pengukuhan susulan data pertumbuhan GDP diterbitkan.

Kadar pertumbuhan GDP untuk suku kedua 2019 di Australia menepati ramalan apabila mencatatkan pertumbuhan pada 0.5%, dengan bacaan data sebelum ini juga turut dikemaskini meningkat. Kadar pertumbuhan tersebut adalah tertinggi sejak suku kedua 2018.

Kemudiannya, dagangan Aussie terus disokong pula oleh keluaran data PMI perkhidmatan Caixin China untuk Ogos yang turut meningkat.

Dagangan safe-haven masih menjadi tarikan pelabur semalam khususnya Yen dan Swiss franc, serta dagangan emas. Ini adalah berikutan tarif terbaru Amerika dan China yang dikenakan terhadap barangan import masing-masing mula berkuatkuasa pada 1 September 2019 hujung minggu lalu.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat