Prestasi Lemah Wall Street Beri Impak Pada Bursa Malaysia

128

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi ini seiring dengan prestasi lemah semalaman di Wall Street.

Penurunan tersebut juga didorong oleh penanda aras teknologi tinggi yang jatuh ke paras terendah dua bulan berikutan kebimbangan terhadap pengurangan peraturan oleh Beijing dan terus memberi kesan kepada pasaran AS.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.91 mata kepada 1,511.69 daripada 1,514.60 ketika ditutup pada semalam.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 3.14 mata lebih rendah pada 1,511.46.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 218 berbanding 146, manakala 252 kaunter tidak berubah, 1,627 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 201.85 juta unit bernilai RM73.04 juta.

Menurut Malacca Securities, KLCI kembali pulih dan telah mencatatkan keuntungan sederhana pada semalam berikutan aktiviti buruan saham nilai rendah serta terdapat jangkaan bahawa ekonomi bakal dibuka semula pada Oktober.

“Walaupun pelabur lebih terarah kepada kadar vaksinasi di dalam negara berbanding jangkitan harian Covid-19, sentimen tempatan dilihat masih berjaga-jaga susulan prestasi negatif di China dan Hong Kong setelah Beijing mengumumkan langkah tambahan untuk sektor teknologi, pendidikan dan harta tanah,” tambahnya.

Sektor berkaitan kenderaan elektrik (EV) semakin memperoleh tumpuan serta momentum berikutan terdapat jangkaan bahawa permintaan EV berkemungkinan akan meningkat dalam masa terdekat.

Selain itu, minat belian terhadap Kossan juga dijangka meningkat susulan peningkatan hasilnya yang kukuh walaupun harga penjualan sarung tangan (ASP) yang semakin lemah.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, TNB naik satu sen kepada RM9.72, Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing turun satu sen kepada RM4, RM7.94 dan RM5.82, manakala Maybank tidak berubah pada RM8.

Bagi saham aktif, waran Johan Holdings naik tiga sen kepada 3.5 sen, Atroniq Bhd meningkat 10 sen kepada 50.5 sen, waran EcoFirst Consolidated naik 6.5 sen kepada lapan sen dan PUC Bhd naik setengah sen kepada 18.5 sen, manakala PDZ Holdings turun setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 10.88 mata kepada 11,088.46, FBM ACE turun 19.98 mata kepada 7,231.26 dan Indeks FBMT 100 merosot 13.55 mata kepada 10,790.08.

Indeks FBM Emas Shariah turun 11.29 mata pada 12,200.03, sementara FBM 70 melonjak 9.59 mata kepada 14,614.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.75 mata kepada 14,737.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.27 mata kepada 188.17 dan Indeks Perladangan merundum 0.35 mata kepada 6,199.10.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat