Produk Malaysia Mendapat Sambutan Di CAEXPO, Rekod Jualan Naik RM405.5 Juta

104

Penyertaan usahawan Malaysia di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) ke-14 di Nanning yang berakhir pada 14 September lalu mencatatkan rekod jualan bernilai RM405.5 juta, melebihi sasaran RM329.6 juta.

Pencapaian Malaysia menerusi hasil jualan yang di luar jangkaan memberi petunjuk positif bahawa ekonomi dunia kini berada pada landasan yang kukuh dengan jangkaan perkembangan dan pertumbuhan yang positif sepanjang tahun ini, kata pengarah Unit China Pembangunan Perdagangan Luar Malaysa (MATRADE), Ong Yew Chee.

Sektor makanan dan minimum antara penyumbang terbesar kepada kenaikan kadar jualan sehingga RM268.83 juta berbanding RM169.6 juta tahun sebelumnya.  “Diikuti sektor kesihatan dan kesejahteraan (RM119.22 juta) dan gaya hidup (RM17.45 juta)” tambah beliau pada penutupan CAEXPO 2017 hari Jumaat yang lalu.

Tahun ini, Malaysia menerima dua anugerah pengiktirafan daripada penganjur, iaitu Best Trade Visitors Organiser dan Best Industry Organiser.

Yew Chee juga berkata, pencapaian tersebut disokong oleh kuasa beli yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat China, selain daripada kepercayaan mereka terhadap produk-produk Malaysia.

MATRADE tidak menyangka peningkatan jualan yang begitu tinggi dengan peruntukan dana yang lebih rendah pada tahun ini yang disebabkan oleh kekangan untuk membawa masuk lebih ramai usahawan. “Namun strategi dan promosi yang berterusan sejak awal tahun ini, kita berjaya melepasi sasaran awal,” jelas beliau lagi.

Lima perjanjian persefahaman (MOU) yang melibatkan produk berasaskan snek, pes makanan, durian dan minuman 3 dalam 1 antara Malaysia dan rakan dagang di China berjaya dilaksanakan.

“Peningkatan mendadak dalam sektor makanan dan minuman terutama bagi produk durian menunjukkan usahawan Malaysia perlu menggiatkan usaha menambah nilai produk mereka,” kata Yew Chee.

Perdangangan antara Malaysia dan China berkembang sebanyak 27.7% kepada RM163.92 billion untuk pertengahan tahun pertama 2017, dengan dagangan import yang tinggi daripada China seperti produk petroleum, elektrikal dan elektronik, jentera dan bahagian-bahagian alatan.

MATRADE mengetuai 171 delegasi syarikat Malaysia yang mengisi 179 ruang pameran di CAEXPO 2017 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guangxi, China selama empat hari bermula Selasa lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat