Putin Menyemarakkan Lagi Semangat Komoditi Hitam!

42

Harga minyak mentah sedikit lemah sementara menanti data simpanan minyak mentah AS. Sementara itu, pasaran dilihat semakin yakin mengenai pembekuan bekalan minyak mentah setelah Russia dikatakan bakal menyokong tindakan tersebut.

Minyak mentah bagi penghantaran November susut 0.14% kepada $51.28. Perkara yang sama juga berlaku pada brent mentah apabila didagang merosot 0.11% kepada $53.08 setong.

Pada Selasa, Institut Petroleum Amerika akan mengeluarkan laporan anggaran produk minyak mentah dan produk tapisan bagi minggu lepas. Angka tersebut akan disusuli dengan data rasmi dari Jabatan Tenaga AS dan Agensi Tenaga Antarabangsa mengenai laporan bulanan bekalan minyak global.

Minggu lalu, data menunjukkan bekalan minyk mentah jatuh buat minggu kelima berturut-turut.

Semalam, brent mentah mencecah tahap tertinggi sejak Julai 2015 selepas Putin mengatakan bahawa Russia akan menyertai OPEC bagi cadangan pembekuan bekalan.

Bercakap pada Kongres Tenaga Dunia di Istanbul pada Isnin, Putin mengatakan kesediaan Russia untuk menyokong tindakan tersebut.

Sebelum ini OPEC bersama dengan beberapa pengeluar utama minyak telah bersetuju untuk memotong pengeluaran minyak kepada 32.5 juta hingga 33.0 juta tong sehari.

Pun begitu, penganalisis pasaran kekal skeptikal mengenai perjanjian tersebut kerana memikirkan cara untuk melaksanakan pelan terbabit.

Langkah selanjutnya akan dibincangkan oleh kesemua 14 anggota OPEC dalam perjanjian yang bakal dijalankan pada 30 November nanti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat