Ramai Rakyat Akan Mati – Biden

2,583

Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran bahawa rakyat mungkin terkorban sekiranya Presiden Donald Trump terus berdegil untuk melepaskan jawatannya.

Berucap di Delaware, Biden berkata, koordinasi diperlukan untuk mengekang wabak coronavirus. Beliau turut menyatakan tindakan Trump itu adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Adakah sesiapa faham tentang ini? Ini mengenai menyelamatkan nyawa, ini perkara benar, bukannya hiperbola. Ramai orang akan mati sekiranya kita tidak bekerjasama,” katanya dalam ucapan itu semalam.

Selain itu, sekutu kepada Biden menyatakan kedegilan Trump itu menyebabkan pentadbiran Biden dikecualikan daripada perancangan strategi pengedaran vaksin.

Ujar Biden, jika pentadbirannya perlu menunggu sehingga 20 Januari kelak iaitu tarikh pelantikannya sebagai Presiden untuk menjalankan kerja-kerja berhubung program pengedaran vaksin itu, mereka akan terlambat.

Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) iaitu sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk mengendalikan proses peralihan untuk Presiden baharu, masih belum mengisytiharkan Biden dan bakal Naib Presiden, Kamala Harris sebagai pemenang.

Tindakan itu menyebabkan Biden dan Harris tidak mempunyai akses kepada taklimat kerajaan yang selalunya diberikan kepada pentadbiran akan datang.

Turut menghentam Trump adalah bekas First Lady AS, Michelle Obama di Instagram rasminya.

Beliau menggambarkan kesukaran untuk menyambut kedatangan Trump ke White House pada empat tahun lalu selepas Trump menyebarkan penipuan berbentuk perkauman tentang suaminya, Barack Obama sehingga mengakibatkan keluarganya berada dalam bahaya.

“Cinta kami terhadap negara memerlukan kami menghormati keputusan pilihan raya meskipun kami tidak menyukai mereka atau mengharapkan sesuatu yang berbeza – jawatan Presiden tidak dimiliki oleh sesiaapa atau sebarang parti.

Michelle turut meminta rakyat Amerika terutamanya pemimpin negara itu tanpa mengira parti untuk menghormati proses elektoral dan memainkan peranan bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat